Sunday, May 11, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cantik dan sihat seperti bunga telang

    Oleh Nurdiyanah R.

    Memiliki kelopak bunga berwarna ungu kebiruan yang begitu cantik dipandang, Bunga Telang atau nama saintifiknya Clitoria Ternatea, bukan hanya sering dijadikan sebagai hiasan tanaman oleh para pencinta bunga-bungaan hakikatnya tumbuhan semula jadi ini juga menyimpan keistimewaan tersendiri.

    Tumbuhan jenis menjalar ini sesuai dijadikan sebagai tanaman hiasan pagar atau boleh juga ditanam dalam pasu. Bagaimanapun ada sesetengahnya telang tidak hidup lama tetapi ia cepat tumbuh dan mengeluarkan bunga yang boleh mekar tanpa musim.

    Selain dikenali dengan nama Asian pigeonwings, bluebellvine, blue pea maupun butterfly pea flower, ia juga mudah ditanam sama ada daripada bijinya atau melalui keratan batang dan terdapat banyak khasiat bunga ini yang menjurus kepada kesihatan dan kecantikan, lebih-lebih lagi apabila dijadikan bahan asas dalam hidangan-hidangan tertentu.

    Teh Bunga Telang

    Salah satu hidangan menyegarkan yang dapat diolah dengan mudah berasaskan bunga ini ialah dengan menjadikannya minuman Teh Bunga Telang yang bukan saja akan menyegarkan tekak tetapi mereka yang mengamalkannya akan dapat merasakan khasiat pelbagai yang dimiliknya.

    Bagi proses untuk dijadikan teh, ambil anggaran segenggam bunga telang dan masukkan ke dalam cawan berisi air panas. Biarkan rendaman tersebut selama lima hingga tujuh minit.

    Bukan hanya cantik, namun Bunga Telang ini juga memiliki khasiat yang tersendiri untuk kesihatan dan kecantikan.
    Air rendaman atau rebusan Bunga Telang menghasilkan pewarna asli, digunakan untuk memasak nasi bagi mewujudkan keunikan warna menarik pada hidangan nasi.

    Minuman Teh Bunga Telang yang pastinya mampu menyegarkan tekak sekali gus memiliki khasiat yang tersendiri.

    Setelah airnya bertukar warna biru pekat, tapis atau keluarkan bunga tadi dan jika suka kelainan, anda juga boleh masukkan setengah biji limau nipis bersama sedikit gula, namun jika anda mempunyai beberapa penyakit atau masalah kesihatan berat, hendaklah meminta khidmat nasihat doktor atau pakar terlebih dahulu.

    Dengan mengamalkan hidangan minuman herba itu, pelbagai manfaat akan diperolehi oleh seseorang, antaranya mampu menurunkan berat badan dan sekali gus sebagai detoksifikasi tubuh. Hal ini kerana telang mengandungi anti-oksidan yang mampu mengeluarkan racun-racun dalam tubuh.

    Pewarna asli Bunga Telang

    Di samping itu, air rendaman atau rebusan daripada bunga telang ini juga dapat dijadikan sebagai pewarna asli bagi hidangan nasi sehingga bukan hanya mampu menawan mata seseorang namun hakikatnya ia memiliki rahsia kebaikan untuk kesihatan yang terkandung di dalamnya.

    Oleh itu, cara penyediaannya ialah beras mengikut sukatan tertentu perlu dibersihkan terlebih dahulu kemudian dimasak menggunakan air rendaman atau rebusan daripada pewarna asli bunga tersebut.

    Bukan hanya mengeluarkan warna yang cantik, namun Bunga Telang ini juga memiliki khasiat yang mampu meningkatkan daya ingatan serta menghilangkan kawalan tekanan. Di samping itu, ia juga sebagai anti-oksidan bagi membantu tubuh seperti meningkatkan kesihatan jantung.

    Pelbagai kegunaan penuh khasiat

    Bagi mereka terutamanya para wanita yang mahukan kecantikan kulit secara mudah dan tidak perlu berbelanja mahal, telang memainkan peranan dalam merawat wajah yang berjerawat.

    Apa yang diperlukan hanya ambil beberapa helai daunnya dihancurkan dan tampal pada muka yang berjerawat. Setelah dibiarkan selama 30 minit, barulah dibersihkan, dikatakan ia dapat membantu mengecutkan jerawat.

    Air rebusan Bunga Telang juga mampu merawat cirit-birit apabila diamalkan dalam masa seminggu. Selain itu, air rendamannya juga dikatakan boleh menyembuhkan penyakit insomnia. Manakala bagi seseorang yang mengalami sakit mata pula juga dapat mengubatinya dengan cara merendam Bunga Telang dalam segelas air kemudian campuran air rendaman itu digunakan untuk menyucikan mata.

    Sementara itu, mengikut beberapa sumber penggunaan akar, biji, daun dan bunga telang ini mampu merawat pelbagai penyakit seperti meredakan batuk dan asma, mendukung sistem kekebalan tubuh, dapat mengatasi stres, rasa cemas dan sakit kepala, menurunkan tekanan darah tinggi dan kadar gula dalam darah, menyembuhkan luka dan merawat bronkitis, sembelit serta dapat melancarkan haid dan mencuci darah kotor serta berfungsi sebagai detox.

    Namun, penjagaan tubuh badan yang sihat bukanlah hanya tertumpu kepada senaman semata-mata, kini terdapat pelbagai sumber semula jadi yang memiliki khasiat atau manfaat untuk kesihatan. Salah satunya Bunga Telang yang sememangnya mempunyai pelbagi khasiat yang perlu diterokai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda