Oleh Ayen HJZ
KITA selalu kagumi bunga ke-rana kecantikannya, warna dan baunya namun apa pula tentang rasanya? Trend memakan bunga sudah lama diamalkan sejak ribuan tahun dahulu oleh masyarakat Cina, Greece dan Rom yang digunakan dalam masakan tradisional mereka.
Sekarang trend itu juga mula dipraktikkan di dapur-dapur restoran bertaraf bintang Michelin dan beberapa individu yang tahu akan kelebihan dan manfaat makan kelopak bunga.
Menambah bunga pada makanan mungkin menjadi cara terbaik untuk menambah warna, rasa dan sedikit pelik. Mungkin ramai yang tidak tahu bunga juga mempunyai rasa pedas, herba dan sebilangannya mungkin sedikit mengejutkan.
Ia bukan sesuatu yang biasa melihat kelopak bunga digunakan dalam salad, minuman teh, aiskrim dan sebagai hiasan bagi pencuci mulut, namun ia memberi inspirasi kreatif.
Tetapi tidak semua bunga boleh dimakan, anda perlu merujuk atau mendapatkan bimbingan daripada mereka yang pakar dalam bidang tersebut tentang senarai varieti bunga yang selamat untuk dimakan.
Adakah selamat untuk memakan bunga?
Tidak semua bunga boleh dimakan namun beberapa daripadanya yang selamat untuk dimakan biasanya hanya kelopak bukan keseluruhan batangnya.
Sebelum memetik dan memilih bunga untuk dimakan, pastikan anda buat kajian atau penyelidikan terlebih dahulu. Ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan untuk memilih bunga yang boleh dimakan contohnya banyak bunga kelihatan serupa, jika anda tidak pasti identiti bunga tertentu adalah dinasihatkan untuk tidak memakannya. Makan hanya jika anda pasti ia benar-benar boleh dimakan.
Dalam kebanyakan kes, hanya kelopak bunga yang boleh dimakan sesuai untuk dimakan, jadi pastikan anda buang kaliks, pistil dan stamen bunga-bunga besar (ros, hollyhock dan bunga raya) di samping pangkal setiap kelopak yang pahit.
Jika anda mengalami demam alergi atau alergi debunga, pisahkan stamen dari bunga sebelum memakannya.
Jika bunga yang anda tanam sendiri, pastikan anda cuci bersih sebelum memakannya dan elak daripada memetik bunga di tepi jalan atau tempat yang mungkin ia telah diberikan racun perosak atau bahan kimia lain.
Bunga yang boleh dimakan memiliki rasa yang pelbagai
Bagi masyarakat kita, bunga yang biasa didengar di dapur-dapur adalah seperti bunga kantan yang dijadikan ulam atau dimasukkan dalam masakan, roselle yang kini makin banyak digunakan sama ada dibuat jus minuman, sirap, tart, bahulu, kek, mufin, coklat dan acar buah-buahan dan lavender yang menjadi perisa minuman bersama teh atau jus dan sebagainya.
Namun terdapat lagi banyak bunga lain yang boleh dimakan seperti bunga teluki, matahari, kekwa, lilac, violet, jasmin (melur atau melati), lavender, daisi, dan lain-lain lagi. Di bawah ini dinyatakan beberapa ciri-ciri rasa setiap bunga yang boleh dimakan.
Bunga raya
Ada rasa manis dan sedikit sitrus, ramai yang mengatakan bunga raya mengingatkan mereka kepada kranberi. Kelopak bunga raya dibuktikan dapat memberikan rasa memukau apabila segar atau dikeringkan apabila ditambah dalam minuman teh atau lainnya. Ia juga boleh disimpan dalam salad bagi menyerikan lagi rasa segarnya.
Bunga Ros
Ros mempunyai rasa yang pelbagai, bergantung pada varieti dan keadaan ia tumbuh. Pada umumnya ia mempunyai rasa buah dan manis yang anda fikir seperti strawberi dan epal hijau.
Beberapa sumber mengatakan semua ros boleh dimakan dengan ros berwarna gelap mempunyai rasa lebih kuat serta boleh dimakan bersama salad, pencuci mulut, jem, minuman punch dan lainnya.
Bunga Pansy
Masam dan ada sedikit rasa rumput, dibayangi mint. Kelopak-kelopaknya memiliki rasa lembut dan mesra. Bunga ini sangat popular digunakan sebagai hiasan bagi membangkitkan selera dalam buah-buahan segar atau salad sayur, pencuci mulut bahkan sup.
Bunga Peony
Kelopaknya rasa manis dan sangat terkenal dalam masyarakat Cina yang merendamnya dalam air dan teh untuk memberi rasa. Dengan beberapa taburan kelopak bunga peony, ia juga dapat mencantikkan salad dan minuman sejuk anda.
Marigolds atau Bunga Tahi Ayam
Kelopak bunganya yang kuning keemasan itu hanya bahagian selamat yang boleh dimakan. Ia mempunyai rasa tajam, pedas, berempah dan kadangkala pahit yang mengingatkan anda pada safron. Apabila ditambah pada sup atau hidangan stu, kelopaknya boleh bertindak sebagai pewarna makanan asli, memberi warna kuning.
Bunga Nasturtium
Selain buah, biji dan daun, bunga nasturtium merupakan bahan segar yang sering dijadikan campuran dalam pelbagai hidangan. Daripada puluhan jenis bunga yang dapat dimakan, nasturtium merupakan jenis yang paling disukai. Bukan hanya kerana warnanya malah rasanya yang sangat enak dicampur bersama mentega atau salad.
Tanaman yang termasuk dalam keluarga kubis ini memang punya rasa renyah, sedikit pahit dan pedas sehingga merangsang hidung. Serupa dengan rasa selada air yang renyah sedikit pahit.
Selain dijadikan hiasan kuih, bunga ini sering dicelup dalam putih telur lalu dibalut gula pasir dan dikeringkan sehingga bentuknya seperti bunga kristal.
Bunga cantik dari Amerika Selatan ini juga dapat dicampurkan bersama mayones. Sedangkan daunnya juga digunakan sebagai pembungkus adunan daging atau ayam yang sudah ditaburi bahan rempah dan menjadi pengganti daun anggur untuk pembungkus. Agar rasanya tidak terlalu pahit, benang sari kecil yang ada di dalam bunga biasanya dibuang.