VITILIGO, sejenis penyakit yang mengakibatkan kehilangan warna kulit dalam keadaan bertompok-tompok, menjejaskan kira-kira satu peratus daripada manusia dan jarang sekali berlaku pada haiwan. Elli, salah seekor daripada beberapa kucing yang disahkan menderita daripada Vitiligo, dilahirkan dengan bulu yang kebanyakannya berwarna hitam, tetapi satu tahun selepas didiagnosis dengan penyakit bermisteri ini, bulunya bertukar menjadi putih.
Nicole, tuan punya kucing berkenaan, terjumpa Elli dan adiknya di sebuah ladang di Jerman, apabila ia hanya berusia empat bulan. Kedua-dua mereka berada dalam keadaan tidak sihat dan amat memerlukan rawatan perubatan, maka Nicole mengambil dan memeliharanya sehingga ia menjadi sihat. Kedua-dua kucing berwarna hitam dengan tompok putih di dadanya itu, yang menjadikannya kelihatan seolah-olah memakai baju tuksedo, namun pada satu hari, tuksedo Elli mulai hilang warna. Pada mulanya, ia hanya satu tompok putih kecil, tetapi selepas beberapa bulan, bulu hitamnya bertukar menjadi campuran hitam dan putih.
“Ia tidak nampak pada mulanya. Saya sangka ia adalah kain tiras dan saya cuba membuangnya, tetapi ternyata ia merupakan bulunya,” beritahu Nicole kepada Love Meow tentang pertama kali beliau mendapati perubahan dalam bulu Elli.
Dalam tempoh beberapa bulan selepas itu, lebih banyak tompok putih kecil muncul pada bulu hitam kucing berkenaan, maka Nicole membawanya ke doktor haiwan untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Beliau berasa terkejut apabila mendapat tahun bahawa Elli sedang menderita daripada Vitiligo, sejenis penyakit luar biasa yang mengakibatkan pengubahan warna pada kulit dan bulu. Nasib baik, kesannya hanya bersifat estetik, jadi ia tidak mengganggu kucing tersebut.
Setahun selepas Nicole perasan tentang tompok putih pertama pada bulu Elli, bulunya yang hitam sebelum itu kini sudah bertukar menjadi putih, dengan tompok kelabu dan hitam. Walau bagaimanapun, ia masih berubah setiap hari, maka tuannya menubuhkan satu laman Instagram untuk Elli, di mana beliau mendokumenkan perubahan yang dialaminya.
“Ia amat comel dan bulunya masih berubah setiap hari,” kata Nicole.
Meskipun perubahan warna yang mendadak, Elli ialah seekor haiwan peliharaan yang sihat, gembira dan suka bermain. – Agensi


