Baru-baru ini saya menerima pelawat dari luar negara. Mereka merupakan rakan-rakan satu kuliah semasa kami sama-sama belajar di sebuah universiti di luar negara suatu masa dahulu.
Saya berkesempatan membawa mereka pusing-pusing melihat tempat-tempat menarik di sekitar Brunei.
Pada mulanya, mereka menunjukkan rasa seronok, mungkin kerana sudah lama tidak berjumpa dengan saya. Namun, lama-kelamaan, saya perasan raut wajah mereka berubah, seolah-olah sedang keresahan. Apabila saya memberanikan diri untuk bertanya, rupa-rupanya mereka ‘sakit mata’ melihat sampah sarap merata-rata, baik di kawasan bandar mahupun di tepi pantai. Begitu juga dengan rumput panjang yang tidak dipotong dan laluan pejalan kaki yang tidak dijaga dengan baik.
Saya berasa malu dan marah dengan diri sendiri. Kerana rakan-rakan saya ini bukan beragama Islam dan datang dari negara Barat. Sepatutnya, kita yang dibesarkan dengan ajaran Islam ini perlulah betul-betul menjaga kebersihan. Jika setiap daripada kita tidak sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata, pasti negara kita bersih daripada sampah sarap yang menyakitkan mata.
Mungkin sudah tiba masanya kerajaan melantik syarikat swasta untuk mencantikkan kawasan persekitaran terutamanya di kawasan yang sering dikunjungi pelancong dari luar.
Tanamlah pokok-pokok bunga yang cantik di sepanjang jalan-jalan utama. Pastikan rumput-rumput sentiasa dipotong dan kawasan pejalan kaki bebas daripada sisa-sisa makanan.
Duta kecil Brunei







