BEIJING, 28 MAC – China bakal menganjurkan Pameran Import dan Eksport (Canton Fair) ke-129 secara maya bermula 15 hingga 24 April.
Jurucakap Canton Fair, Xu Bing dalam taklimat media pada Jumaat berkata pameran tahun ini sangat penting kerana ia dapat memberi manfaat dalam memacu sosioekonomi domestik dan kerjasama antarabangsa dalam memerangi pandemik.
Di samping itu, pameran itu juga kondusif bagi memantapkan perdagangan dan pelaburan asing serta melicinkan rantaian bekalan dan perindustrian.
Dengan pengalaman penganjuran secara maya pada tahun lepas, platform Canton Fair dalam talian itu akan dimantapkan bagi mempermudah interaksi antara pembeli dan pembekal, selain menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada perusahaan pelbagai negara.
Walaupun berdepan dengan impak penularan pandemik, namun pihak penganjur tetap berusaha mempromosi Canton Fair menerusi pelbagai saluran termasuk media baharu, dengan tujuan menarik penyertaan lebih banyak syarikat dari seluruh dunia.
Ruang pameran khusus bertemakan ‘pembangunan desa’ turut ditawarkan dalam talian untuk membantu perusahaan dari kawasan luar bandar meneroka pasaran antarabangsa. – Bernama