Capai kecekapan tenaga

Oleh Sim Y. H.

Gambar serahan BSP

BELAIT, 14 SEPT – Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Brunei LNG Sdn Bhd (Brunei LNG) dan Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) menghoskan bersama Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) edisi 2021 yang dikendalikan secara maya bermula hari ini hingga 16 September.

AEBF dianjurkan bersama oleh Kementerian Tenaga, Autoriti Petroleum Brunei Darussalam, Pusat ASEAN bagi Tenaga (ACE) dan DMG Events yang dikendalikan bersempena Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-39.

Menurut kenyataan bersama dari BSP, Brunei LNG dan BGC, dengan dunia bergerak ke arah ekonomi rendah karbon, BSP, Brunei LNG dan BGC bergerak setapak dengan masyarakat setempat dan antarabangsa agar dapat mengekalkan sumbangan signifikannya kepada ekonomi Brunei.

Sebagai hos bersama AEBF, BSP, Brunei LNG dan BGC berbesar hati untuk bekerjasama dengan Komuniti ASEAN, dalam mengukir laluan ke arah sekuriti tenaga, akses universal dan transisi kepada masa hadapan rendah karbon.

Forum itu merupakan platform cemerlang di mana kerajaan, industri tenaga, ahli akademik dan organisasi-organisasi antarabangsa dapat menyumbang kepada perbincangan berkesan sekeliling transisi tenaga.

Pengarah Urusan Syarikat BSP, Agnete Johnsgaard-Lewis semasa menyampaikan ucapannya.

Sudah lama bertapak di Brunei lebih 90 tahun, BSP berhasrat untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan memainkan peranannya untuk menyediakan penyelesaian tenaga mapan dan percaya hidrokarbon akan terus menjadi sebahagian daripada campuran tenaga yang boleh diperbaharui untuk berkembang maju menerusi perjalanan decarbonisation dan transisi tenaga.

Bagi meminimumkan impaknya kepada alam sekitar dan mengurangkan jejak karbon, BSP juga bekerja ke arah meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam aset bukan operasi dan operasinya seperti loji tenaga suria kedua Brunei iaitu loji PV suria scale utility 3.3MWp BSP dengan lebih 7,000 panel suria.

BSP dan Brunei LNG terus secara aktif menyokong Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS) dalam menyampaikan strategi-strategi utama Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP).

Sebuah pasukan Transisi Tenaga telah ditubuhkan untuk menerajui sokongan Brunei Shell Joint Venture (BSJV) ke arah perjalanan decarbonisation Brunei. Pasukan itu bertindak sebagai saluran kepada BCCS dan bermatlamat untuk menjadi pusat kecemerlangan bagi penyelesaian rendah karbon di dalam BSJV.

Sebagai loji LNG yang paling lama beroperasi di dunia, Brunei LNG terus merubah kaedah ia beroperasi sebagai sebuah perniagaan di mana selain mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GHG), ia juga menjadikan lojinya lebih efisien tenaga dan mengintegrasikan kemapanan dalam strategi perniagaannya.

Brunei LNG bermatlamat untuk mengalihkan 10 peratus sumber penjanaan tenaga daripada gas bahan api kepada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025 sebagai inisiatifnya untuk menjadi sebuah perniagaan yang lebih mapan.

Dengan evolusi teknologi penghantaran LNG dan sebagai pengiktirafan bahawa pengurusan karbon adalah mustahak untuk menangani implikasi perubahan iklim daripada peningkatan penggunaan tenaga dunia, BGC terus melaksanakan kaedah bagi memperbaiki pelepasan karbon dan mengurangkan kesannya kepada alam sekitar.

Apa yang jelas adalah perubahan diperlukan untuk mengambil tindakan dan menjadi lebih mesra karbon. Empat daripada kapal-kapal BGC mempunyai enjin Dual Fuel Diesel Electric (DFDE) yang sekurang-kurangnya 30 peratus lebih efisien daripada kapal wab terdahulu.

Menurut kenyataan itu lagi, BSP, Brunei LNG dan BGC berbangga untuk mengambil bahagian dalam perdebatan transisi tenaga dan menyumbang kepada rekaan serta aplikasi dasar yang menyokong masyarakat ke arah laluan decarbonisation.

Semasa AEBF, wakil-wakil daripada BSP, Brunei LNG dan BGC akan menyampaikan pembentangan dalam pelbagai acara sepanjang tempoh forum berkenaan dan berkongsi amalan terbaikserta menubuhkan laluan kerjasama untuk mencapai keutamaan tenaga Brunei dan ASEAN.