Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Capai matlamat mapan kanak-kanak

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Seramai 125 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun di seluruh negara, hari ini, telah menghadiri Forum Kanak-kanak Kebangsaan yang bertajuk ‘In Pursuit of Sustainable Development Goals: Leave No Children Behind’ yang diadakan di sebuah hotel di Jerudong.

    Forum anjuran Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) itu juga dihadiri oleh Timbalan Ketua Misi di Kedutaan Amerika Syarikat ke Brunei Darussalam, Mark Dieker; Presiden MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim, para pegawai kanan kerajaan, ahli eksekutif MKM, guru-guru dan ibu bapa.

    Antara lain tujuan forum berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak di negara ini mengenai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG), khususnya yang berkaitan dengan kesejahteraan kanak-kanak, mengumpul pandangan bagaimana stakeholder-stakeholder SDG boleh menyokong promosi dan perlindungan ke atas hak kanak-kanak.

    Di samping itu, ia juga untuk membincangkan sokongan kanak-kanak ke atas SDG yang ingin mereka perjuangkan dan bagaimana mereka ingin mencapainya dengan melibatkan semua orang.

    Sebilangan pelajar dan para peserta forum bergambar ramai bersama Mark Dieker selepas Forum Kanak-kanak Kebangsaan.
    Sebilangan pelajar dan para peserta forum bergambar ramai bersama Mark Dieker selepas Forum Kanak-kanak Kebangsaan.

    Sehubungan itu juga, dengan kebenaran daripada Pergerakan Kanak-kanak Amerika Latin dan Caribbean, MKM telah menerbitkan Risalah SDG yang menjadi panduan kepada matlamat harapan kanak-kanak dan remaja yang bertajuk The World We Want yang mana risalah tersebut juga digunakan semasa perbincangan berkumpulan pada forum itu.

    Semasa forum tersebut, Pakar Perlindungan Kanan Kanak-kanak bagi United Nations Children Fund (UNICEF Malaysia) Phenny Kakama telah menyampaikan ceramahnya mengenai SDG dari Perspektif Hak Kanak-kanak, manakala Graham Adria seorang doktor siswazah dari UNICEF Thailand juga terlibat dalam perbincangan berkumpulan bersama kanak-kanak dan remaja dalam SDG.

    SDG telah menjadi agenda global baru yang berusaha bagi sebuah dunia yang adil, saksama dan inklusif di mana negara-negara di seluruh dunia termasuk Brunei Darussalam telah komited kepada SDG untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi mapan dan pembangunan sosial serta perlindungan alam sekitar untuk memberi manfaat kepada semua, khususnya kanak-kanak yang merupakan generasi masa depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda