WASHINGTON, 9 MEI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer semalam mengumumkan satu perjanjian perdagangan ‘bersejarah’, yang merupakan perjanjian pertama Trump dengan mana-mana negara sejak dia melancarkan siri tarif global secara besar-besaran.
Perjanjian itu menyaksikan Washington mengurangkan tarif ke atas kereta mewah Britain dan menghapuskan sepenuhnya tarif ke atas keluli dan aluminium, walaupun cukai asas sebanyak 10 peratus ke atas barangan Britain masih dikekalkan.
Ketika mengumumkan perjanjian itu melalui panggilan telefon kepada Starmer dari Pejabat Oval, Trump berkata sebagai balasan, Britain akan membuka pasaran kepada daging lembu dan produk pertanian AS.
Namun begitu, perincian perjanjian masih tidak lengkap, walaupun Trump menyifatkannya sebagai contoh bagi perjanjian masa depan dengan negara lain seperti China selepas pengenaan tarif pada bulan April yang digelarnya sebagai ‘Hari Pembebasan’.
“Saya amat gembira untuk mengumumkan bahawa kita telah mencapai perjanjian perdagangan yang penting dengan United Kingdom,” kata Trump. “Perjanjian ini merangkumi akses pasaran bernilai berbilion dolar bagi eksport Amerika.”
Perjanjian itu tercapai pada saat akhir, de-ngan Starmer mendedahkan dia mengetahui Trump telah memberikan kelulusan apabila presiden itu menghubunginya pada malam Rabu semasa dia sedang menonton perlawanan bola sepak.
“Ini adalah hari yang benar-benar hebat dan bersejarah,” kata Starmer semasa panggilan bersama Trump itu.
Beliau turut menyatakan pengumuman itu bertepatan dengan ulang tahun ke-80 ‘Hari Kemenangan’ pasukan bersekutu – termasuk Britain dan AS – ke atas Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua. – AFP
