Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Penularan wabak COVID-19 dapat dianggap sebagai satu musibah yang amat dahsyat tapi selaku orang Islam, kita tidak boleh lari daripada melihatnya sebagai ketentuan Allah SWT.
Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengelakkan serangan atau jangkitan wabak berkenaan di Negara Brunei Darussalam.
Ini termasuklah mematuhi semua arahan oleh pihak berkuasa dan kesihatan seperti menjalani saringan, memakai penutup mulut dan hidung, menggunakan pensanitasi tangan, melaksanakan penjarakan sosial dan sebagainya, yang mana semua ini sudah dilakukan di seluruh dunia.
Yang Berhormat Pehin menekankan perkara berkenaan semasa Persidangan Antarabangsa Perpaduan Islam kali ke-34 yang diadakan secara maya dari Jabatan Mufti Kerajaan, hari ini.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan, Brunei amat bertuah kerana di bawah pimpinan seorang raja yang sangat prihatin dan tidak putus-putus memberikan galakan rohani berupa nasihat supaya rakyat bersabar dan jangan mengabaikan doa.
Dengan langkah bersepadu untuk mengelakkan jangkitan ditambah dengan keberkatan ayat-ayat dan doa-doa yang terus diamalkan, tegas Yang Berhormat Pehin, Brunei kini hanya merekodkan 148 kes positif, 143 sembuh dan tiga kematian.
Bukan setakat itu, sejak 6 Mei iaitu 176 hari lalu dari sehingga sekarang, jelasnya lagi, Brunei Darussalam bebas sepenuhnya daripada jangkitan tempatan.
Persidangan Antarabangsa Perpaduan Islam ke-34 diadakan dalam bentuk webinar bermula hari ini hingga 3 November 2020 di Republik Islam Iran.
Antara lain tujuan persidangan adalah untuk mewujudkan perpaduan dan kese-tiakawanan dalam kalangan umat Islam, mengembangkan ijma’ dalam kalangan ulama dan saintis demi penyelarasan ilmiah dan budaya mereka.
Selain itu, ini juga untuk mengemukakan penyelesaian praktikal bagi mencapai perpaduan Islam dan ummah Islam yang bersatu di dunia Islam dan menyelesaikan masalah umat Islam serta memberikan penyelesaian untuk mereka.
Penyertaan Yang Berhormat Pehin dalam persidangan berkenaan adalah atas undangan Setiausaha Agung World Forum for Proximity of Islamic Schools of Thought, Dr Hamid Shahriari.
Peserta persidangan dipilih daripada kalangan elit dan tokoh terpelajar, menteri-menteri negara Islam, ulama dan para mufti, profesor-profesor universiti dan masyarakat akademik dan budaya lainnya, di dalam dan luar negara.
Ratusan cendekiawan, ulama dan para pemikir Islam dari pelbagai negara seperti Perancis, Syria, Lubnan, Australia, Mesir, Malaysia, Sudan, Pakistan, India, Azerbaijan, United Kingdom, Jordan, Iraq, Indonesia, Gambia, Palestin, Afghanistan, Senegal, Libya, Bahrain, Algeria, Yaman, Yunani, Turki, Uganda, Kuwait, Qatar, Belanda, Emiriah Arab Bersatu dan lain-lain turut mengambil bahagian dalam persidangan berkenaan.