Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Kemampanan merupakan satu tumpuan utama dalam Wawasan Brunei 2035 di mana ia adalah selaras dengan matlamat negara untuk mempunyai warga yang berpendidikan dan berkemahiran, kualiti kehidupan yang baik serta sebuah ekonomi mampan yang dinamik.
Ia merupakan satu rancangan yang meluas dan mempunyai matlamat yang tinggi di mana tidak menghairankan bahawa ia menyentuh keperluan untuk kekal mampan.
Daripada sebuah ekonomi yang tumpuannya melangkaui minyak dan gas kepada meningkatkan peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana serta menggalakkan semua warga Brunei untuk mencapai kepimpinan dalam industri perniagaan, penekanan harus dibuat kepada mengembangkan kekuatan kompetitif.
Semua itu, membawa kepada usaha untuk mencapai pertumbuhan mampan dengan penekanan daripada pengeluaran dan produktiviti yang tinggi, kepada pelaburan yang baik di mana Brunei dibayangkan mempunyai kepelbagaian yang tinggi daripada segi sektor, eksport, ekonomi dan asas pendapatan yang meluas.
Penekanan itu dibuat oleh Pengerusi Bank Baiduri, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah ketika menyampaikan ucapan alu-alu pada Forum Masa Depan Kemampanan yang membawa tema Mission Possible: Sustainability in Action, di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Yang Amat Mulia berkata adalah amat penting bagi Brunei untuk mempunyai usaha yang lebih bersepadu dan selaras daripada setiap pelosok masyarakat termasuk sektor awam dan swasta, bagi sama-sama berusaha mencapai Wawasan Brunei 2035 bagi manfaat negara dan juga dunia.
Mengulas mengenai kemampanan dalam perniagaan, Yang Amat Mulia menyatakan bahawa terdapat lebih penekanan bagi perniagaan untuk mengimbangi keuntungan dengan tanggungjawab sosial dan kepengurusan alam sekitar.
Semua itu dapat disaksikan dalam matlamat tanggungjawab sosial korporat dan penekanan kepada kemampanan di mana semua pihak berkepentingan daripada pengguna, pekerja, pelabur dan pemegang saham, memberikan penekanan kepada kemampanan.
Dalam menjadi sebuah perniagaan yang mampan di Brunei, Yang Amat Mulia berkata ia melibatkan strategi dan prinsip yang tertentu dan dengan kekayaan biodiversiti negara, setentunya Brunei akan memperoleh manfaat daripada mempromosikan amalan pelancongan mampan dan bertanggungjawab sebagai contoh.
Pada masa yang sama, sebagai tambahan kepada itu, negara juga dapat memperoleh manfaat daripada amalan-amalan perikanan dan pertanian mampan di mana ia dapat melindungi sumber asli negara.
Kemampanan di Brunei juga mempunyai konteks alam sekitar dan budaya yang unik, oleh itu adalah amat baik untuk menyesuaikan sebagai usaha kemampanan kepada konteks berkenaan dan pada masa yang sama, melibatkan pihak yang berkepentingan tempatan untuk memastikan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan adalah efektif dan diterima dengan baik.
Dalam dunia yang pesat berubah, Yang Amat Mulia berkata institusi kewangan seperti Bank Baiduri mempunyai peranan yang penting untuk dimainkan dalam memastikan isu-isu kemampanan diberikan keutamaan yang sewajarnya.