Thursday, April 3, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Capai resolusi berasaskan alam semula jadi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Rantau ASEAN secara meluas dikenali sebagai salah sebuah rantau dunia paling terdedah pada kesan perubahan iklim.

    Dalam hubungan itu, mempercepatkan tindakan penyesuaian dan mitigasi iklim serta pada masa yang sama, mempromosikan pembangunan mampan adalah sentiasa berada di tengah-tengah keutamaan dan agenda ASEAN, diterajui oleh Visi ASEAN serta Rangka Tindakan Komuniti Sosiobudaya ASEAN 2025.

    Negara Brunei Darussalam bersama rakan-rakan di ASEAN telah meletakan kepentingan pada penyelesaian berasaskan alam semula jadi bagi mengurangkan pengeluaran, menangani perubahan iklim dan mengukuhkan daya tahan di mana rantau berkenaan memegang nilai signifikan stok karbon dunia.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa menghadiri Mesyuarat Menteri Bersama Iklim dan Tenaga G20 yang berlangsung melalui persidangan video.

    Turut menyertai persidangan tersebut ialah Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussien.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan Yang Berhormat Menteri Tenaga ketika menghadiri mesyuarat tersebut melalui persidangan video, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Tenaga

    Tambah Yang Berhormat Menteri Pembangunan, dalam memajukan penyelesaian berasaskan alam semula jadi, ASEAN bersedia untuk melancarkan sebuah Inisiatif Hijau ASEAN dan sebuah Laporan Status bagi Pelaburan dalam Modal Semula Jadi Mampan dalam ASEAN pada lewat 2021.

    Menurut kenyataan Kementerian Tenaga, di sini, hari ini, mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Peralihan Ekologi Itali, Tuan Yang Terutama Roberto Cingolani dan dihadiri oleh menteri-menteri iklim dan tenaga dari negara-negara anggota G20, negara-negara tetamu dan wakil-wakil organisasi antarabangsa.

    Negara Brunei Darussalam telah dijemput sebagai tetamu pengerusi dalam kapasitinya sebagai pengerusi ASEAN 2021, jelas kenyataan itu lagi. Perbincangan dalam mesyuarat berkenaan dibahagikan dengan tiga sesi iaitu bandar raya dan tindakan iklim, pemulihan mampan dan peralihan tenaga bersih serta Paris Aligned Financial Flow dan Sekuriti Tenaga serta Kemiskinan Tenaga.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny berkongsi bahawa ASEAN melalui Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM) terus menjana perkembangan dalam mengejar matlamat sekuriti tenaga dengan mengekalkan dan melindungi perkhidmatan tenaga daripada gangguan serta pada masa yang sama, memastikan akses pada tenaga moden, mampan, dipercayai dan mampu dimiliki oleh semua.

    Yang Berhormat Dato turut mengetengahkan bahawa kerja-kerja yang dilaksanakan dalam ASEAN adalah selaras dan menyokong usaha yang dikendalikan dalam Forum G20 termasuk inisiatif yang diterajui Brunei iaitu Bandar Seri Begawan Joint Declaration on Energy Security and Enegry Transition yang dipersetujui oleh AMEM pada 2021.

    Deklarasi bersama itu menyediakan peluang untuk membentuk pemandangan tenaga serantau dalam memastikan sekuriti tenaga pada masa ini dan akan datang serta untuk mempercepatkan peralihan tenaga ke arah komuniti ekonomi serantau yang lebih bersiap sedia, dinamik dan mampan.

    Juga hadir pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda