PRAIA, 12 JAN – Cape Verde telah menjadi negara Afrika ketiga yang diisytiharkan bebas malaria, walaupun penyakit itu terus membunuh ratusan ribu orang di benua itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.
Kepulauan Atlantik dengan kira-kira 500,000 penduduk itu mengikuti pencapaian Mauritius pada 1973 dan Algeria pada 2019.
Di seluruh dunia, kira-kira 43 negara telah disahkan bebas malaria oleh WHO, yang memerlukan bukti bahawa rantaian penularan domestik telah terputus selama sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut. “Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan penduduk Cabo Verde atas komitmen dan daya tahan yang tidak berbelah bahagi dalam perjalanan mereka untuk menghapuskan malaria,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menggunakan nama tempatan negara itu.
“Pensijilan WHO bagi Cape Verde sebagai bebas malaria adalah bukti kuasa perancangan kesihatan awam yang strategik, kerjasama dan usaha berterusan untuk melindungi dan mempromosikan kesihatan.” – AFP
