PRAIA, 14 OKT – Cape Verde akan beraksi dalam Piala Dunia buat kali pertama selepas menewaskan Eswatini 3-0 untuk memenangi kumpulannya dalam saingan kelayakan Afrika bagi Piala Dunia 2026 kelmarin.
Kepulauan gunung berapi di pesisir barat Afrika itu memperoleh salah satu daripada sembilan slot bagi benua tersebut dan ia akan menjadi negara kedua terkecil mengikut populasi yang beraksi dalam kejohanan itu selepas Iceland pada tahun 2018.
Dailon Livramento berjaya menjaringkan gol pada minit ke-48, manakala Willy Semedo pada minit ke-54 dan Stopira pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan di laman sendiri dan kedudukan pertama dalam Kumpulan D.
Pada wisel penamat, para penyokong bersorak di tempat duduk sementara para pemain meraikan kejayaan di padang.
“Suatu detik bersejarah,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam satu mesej video.
“Tahniah kepada semua di Cape Verde kerana berjaya mara ke Piala Dunia FIFA buat kali pertama. Bendera anda akan berkibar dan lagu kebangsaan anda akan berkumandang di kejohanan Piala Dunia FIFA yang terbesar pernah diadakan.
“Usaha anda dalam pembangunan bola sepak sejak beberapa tahun kebelakangan ini amat menakjubkan dan inilah masanya di mana bintang-bintang anda akan dikenali di seluruh dunia serta menginspirasi generasi baharu pencinta bola sepak di seluruh Cape Verde,” tambahnya.
Cape Verde, sebuah negara dengan populasi sekitar 525,000 orang, memasuki perlawanan itu dengan keperluan wajib menang, namun masih boleh mara walaupun tewas selagi Cameroon tidak menewaskan Angola.
Sembilan juara kumpulan secara automatik layak ke Piala Dunia dan empat naib juara terbaik akan beraksi dalam kejohanan mini yang terdiri daripada dua separuh akhir dan satu perlawanan akhir pada bulan November.
Menurut FIFA, tiket untuk perlawanan Cape Verde terjual dalam masa rekod, dan kerajaan mengisytiharkan cuti separuh hari di seluruh negara bagi membolehkan rakyat menonton perlawanan tersebut. – AP


