GROVE, ENGLAND, 13 DIS — Ketua pasukan, Jost Capito dan pengarah teknikal, Francois-Xavier Demaison akan meninggalkan Williams selepas pasukan itu mendapat tempat tercorot bagi kategori pengeluar dalam kejohanan Formula Satu (F1).
Capito mengendalikan pasukan itu selama dua musim selepas firma pelaburan, Dorilton Capital membeli pasukan itu pada tahun 2020 daripada keluarga Williams.
“Ini merupakan satu penghormatan besar dapat membimbing Williams Racing selama dua musim terakhir dan menentukan hala tuju pasukan ini. Saya teringin untuk menyaksikan pasukan ini meneruskan kejayaannya pada masa hadapan,” kata Capito dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tiada alasan diberikan atas pemergian Capito. Kenyataan itu disertai dengan komen daripada pengerusi Dorilton, Matthew Savage yang menyatakan ‘lelaki Jerman berusia 64 tahun itu menangguhkan rancangan persaraannya semasa dia mengambil alih jawatan ini’.
Williams berada di tangga kelapan daripada 10 pasukan pada tahun 2021 dan mendapat kemenangan podium pertama sejak 2017 selepas George Russell mendapat tempat kedua dalam Grand Prix (GP) Belgium. Selepas Russell berpindah ke pasukan Mercedes, Williams hanya mampu mengutip lapan mata dalam keseluruhan tahun 2022 bersama Alex Albon, Nicholas Latifi dan Nyck de Vries.
Pelumba Amerika Syarikat, Logan Sargeant, yang bakal menggantikan Latifi sebagai rakan sepasukan Albon untuk musim 2023, memberi penghormatan kepada Capito yang telah membantunya semasa di Formula Dua.
“Jost, terima kasih kerana telah mempercayai saya sepanjang masa saya di akademi dan membantu mendorong saya mara ke F1. Dia telah memberikan saya peluang untuk menunjukkan potensi saya dalam Formula Dua. Dia merupakan seorang ketua pasukan yang hebat, dan saya mendoakan yang terbaik untuknya dalam apa jua urusannya pada masa depan!”
Williams tidak memberikan sebarang tempoh masa untuk mencari pengganti Capito dan Demaison. Perlumbaan pertama musim depan akan diadakan pada 5 Mac di Bahrain.
Williams pernah memenangi sembilan gelaran juara pengeluar, kedua terbanyak di bawah Ferrari, kali terakhir pada tahun 1997. Pasukan itu merupakan antara pasukan paling perlahan dalam F1 dan menghadapi kekangan kewangan sebelum pengambilalihan pada tahun 2020. – AP


