PARIS, 20 MEI – Satu trend baharu sedang berlaku dalam kalangan monyet capuchin jantan dengan menculik anak monyet howler, dalam apa yang dikatakan saintis adalah kali pertama haiwan telah direkodkan mencuri anak haiwan dari spesies lain tanpa sebab yang jelas.
Pelajar PhD, Zoe Goldsborough, pertama kali menyedari sesuatu yang tidak kena pada tahun 2022 semasa meneliti rakaman yang ditangkap oleh kamera di Jicaron, sebuah pulau di luar pantai Panama.
“Saya sangat terkejut melihat seekor monyet capuchin berwajah putih dengan anak monyet howler di belakangnya,” kata seorang penyelidik di Institut Perilaku Haiwan Max Planck Jerman, Goldsborough, kepada AFP.
Para saintis memberi gelaran Joker kepada capuchin disebabkan parut kecil di sisi mulutnya sekali gus mengingatkan mereka kepada musuh Batman.
Selepas menyemak lebih banyak rakaman, mereka melihat Joker membawa empat ekor anak monyet howler yang berbeza.

“Pada mulanya, mereka menyangka ia adalah kisah menyentuh hati tentang capuchin yang mengambil anak monyet itu,” kata pengarang utama kajian baharu dalam jurnal Current Biology, Goldsborough.
Kemudian para saintis mula mencari kes lain yang tidak melibatkan Joker.
Mereka akhirnya memerhatikan lima ekor capuchin yang membawa 11 ekor anak howler yang berbeza dalam tempoh 15 bulan.
Para saintis seterusnya menemui rakaman ibu bapa monyet howler yang sedih memanggil-manggil anaknya yang hilang, menunjukkan bahawa anak monyet itu sebenarnya telah diculik.
Penyelidik berasa hairan kerana capuchin tidak makan atau menjadikan anak-anak monyet sebagai mangsa dan juga tidak gemar bermain dengannya. Saintis mendapati penculikan merupakan tradisi sosial dalam kalangan anak jantan capuchin. – AFP