Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Aktiviti jualan berkonsep Jualan Bonet Kereta (Car Booth Sale) bukan saja berjaya menghidupkan perkarangan kawasan letak kereta Kompleks Mabohai, malah ia juga dapat membantu menambah pendapatan peniaga yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia.
Jika sebelum ini, jualan terus dari bonet kereta mungkin kurang mendapat sambutan kerana sikap masyarakat yang tidak yakin dengan konsep tersebut, tetapi kini jualan seperti ini berjaya menambat hati pengunjung sekali gus mengubah persepsi berkenaan.
Tinjauan media ke Jualan Bonet Kereta anjuran Kompleks Membeli-belah Mabohai, hari ini, mendapati orang ramai sudah membanjiri jualan tersebut
sejak 6 pagi lagi, di mana pengunjung tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan beraneka jenis daripada pakaian hinggalah ke perabot rumah pada harga yang berpatutan.
Salah seorang peserta jualan yang ditemui, Awang Neil, 45, berkata bahawa konsep jualan seperti itu semakin popular dalam kalangan peniaga muda terutama sekali kepada mereka yang baru mencuba dalam bidang perniagaan.
Beliau menjelaskan, dengan menyertai jualan seumpamanya, ia bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah ia juga dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan barangan terpakai yang dijual dengan kualiti dan harga yang berpatutan.
“Jika dahulu car boot sale adalah berkonsepkan barangan terpakai sahaja tetapi kini ia sudah dipelbagaikan lagi, yang bukan sahaja menjual barangan terpakai malah terdapat juga barangan yang masih baru,” tambahnya.
Sementara temu bual dengan salah seorang pengunjung di jualan tersebut, Hajah Juyah binti Kamsan, 45, berkata, “Dengan adanya jualan seumpama ini, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan barangan dengan harga yang berpatutan.
“Dalam jualan seperti ini juga, ibu bapa dan penjaga berpeluang mendapatkan barangan keperluan anak-anak untuk persiapan persekolahan nanti antaranya ialah seperti pakaian persekolahan dan juga buku-buku teks yang masih boleh digunakan,” tambahnya.
Jualan Bonet Kereta anjuran kompleks berkenaan disertai oleh 42 orang peserta termasuk ibu-ibu tunggal, di mana jualan berkenaan juga sebagai salah satu cara kompleks berkenaan untuk memberi sokongan amal kepada mereka.