KUALA LUMPUR, 20 April – Proses pembuat keputusan antara kerajaan ASEAN yang tidak formal atau ‘Cara ASEAN’, membolehkan setiap negara mempunyai pemahaman sebenar serta berkongsi visi objektif penyepaduan, kata Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Victoria Treadell.
Beliau berkata walaupun ia memperlahankan tahap penyepaduan, Cara ASEAN baik untuk rantau ini kerana ia mengambil kira kepelbagaian ekonomi di rantau itu serta jangkaan yang berbeza daripada setiap kerajaan.
“Antara pengajaran daripada pengalaman United Kingdom dalam Kesatuan Eropah (EU) adalah untuk memastikan setiap orang berkongsi visi yang sama serta memahami sepenuhnya objektif.
“Pendekatan satu saiz sesuai untuk semua dalam EU tidak sesuai untuk Britain,” katanya dalam perbincangan meja bulat mengenai “Pengajaran Yang Boleh Dipelajari Daripada Brexit – Risiko dan Peluang bagi ASEAN”, di sini hari ini.
Beliau berkata Britain menyertai EU ketika ia berasaskan konsep berbeza, yang dikenali sebagai pasaran seragam untuk perdagangan bebas.
“Namun apabila EU berkembang dan bergerak ke arah penyepaduan ekonomi dan politik menerusi pengenalan euro dan zon euro. wujud ketidakpuasan dalam kalangan rakyat.
“Rakyat kami merasakan mereka tidak memperoleh manfaat daripadanya, dan apabila mereka melihat pendatang, wujud tanggapan pekerjaan itu untuk orang asing,” katanya dan menambah ini akhirnya menjurus kepada keputusan meninggalkan blok ekonomi itu menerusi referendum tahun lepas. – Bernama