Jerawat badan merupakan perkara biasa, akan tetapi ia akan menyebabkan ketidakselesaan dan sangat sukar untuk ditangani.
Jerawat badan biasanya disebabkan oleh pengumpulan minyak dan sel kulit mati di dalam dan sekitar pori. Pori-pori boleh tersumbat dan menarik bakteria yang membiak. Ini menyebabkan ia membawa kepada tindak balas keradangan kulit yang menyebabkan jerawat. Berikut adalah antara cara untuk mengatasi jerawat badan.
PAKAI PAKAIAN LONGGAR DAN BERSIH
Jika jerawat awda tertumpu pada badan, kaki atau punggung, pakaian yang ketat mungkin menjadi punca. Peluh dan bakteria yang berlebihan boleh menyebabkan pori-pori tersumbat. Jadi, awda disarankan untuk membawa pakaian ganti yang bersih bersama jika cenderung berpeluh dalam cuaca panas. Bagi membantu pori-pori bernafas, awda disarankan mencuba pakaian yang longgar dan memastikan awda mencuci pakaian selepas memakainya.
PERTIMBANGKAN DIET
Walaupun lebih banyak penyelidikan diperlukan, beberapa kajian telah mendapati bahawa tenusu dan makanan dengan kandungan gula dan lemak yang tinggi boleh meningkatkan risiko untuk pertumbuhan jerawat. Ini termasuk makanan berkarbohidrat tinggi seperti roti, nasi putih dan kentang. Jika awda mempunyai jerawat secara rawak, perhatikan apa yang awda makan untuk mengenal pasti sama ada terdapat makanan tertentu yang menjadi penyebab masalah tersebut.
KURANGKAN TEKANAN
Tekanan boleh meningkatkan pengeluaran hormon kortisol berlebihan. keadaan itu boleh mengikat dan merangsang kelenjar minyak. Ia merupakan kelenjar yang terdapat di bawah kulit yang berfungsi untuk mengeluarkan minyak bagi melembapkan kulit, menjaga serta mempertahankan kelembutan kulit. Akan tetapi pengeluaran minyak yang berlebihan boleh menyebabkan pertumbuhan jerawat pada badan. Jadi, awda boleh mengurangkan tekanan dengan mengamalkan senaman ringan, meditasi dan cara pernafasan yang betul.
MANDI DENGAN BERSIH
Mandi setiap hari dan sentiasa dalam keadaan bersih membantu memastikan kulit awda sihat dengan mengeluarkan lebihan peluh dan minyak pada badan. Bagi memanfaatkan mandi, gunakan sabun organik, atau sabun antibakteria. Jika awda seorang yang aktif, adalah disarankan untuk mandi dengan segera selepas berpeluh.
Jerawat tidak berkait dengan kebersihan tetapi bakteria menyebabkan jerawat tumbuh pada kulit yang berpeluh. Syampu dan perapi rambut juga boleh meninggalkan sisa di belakang badan awda yang boleh menyumbat liang-liang dan menyebabkan pertumbuhan bakteria. Jadi, berhati-hatilah semasa membilas rambut dan basuh belakang awda secara perlahan-lahan selepas mencuci rambut.
PILIH PRODUK DENGAN TELITI
Rutin penjagaan kulit awda mungkin menyumbang kepada masalah jerawat badan.
Justeru, awda perlu memastikan pelembap dan losyen tertera noncomedogenic pada botol, yang bermaksud ia berkemungkinan kurang menghasilkan jerawat. Jika awda masih mengalami masalah jerawat selepas menggunakan losyen tersebut atau pelindung matahari, ini mungkin bermakna ia terlalu berat untuk jenis kulit dan ia menyumbat pori-pori awda.
Pelembap berasaskan minyak mungkin berfungsi untuk orang yang mempunyai kulit kering, tetapi bagi mereka yang mempunyai kulit berminyak, produk tersebut akan memburukkan lagi jerawat pada badan. – Agensi