Tidak dinafikan, kemalangan jalan raya di kawasan selekoh kerap sekali berlaku di seluruh dunia. Ini menimbulkan persoalan adakah majoriti pemandu sudah mengetahui cara yang betul untuk membelok di selekoh?
Secara logiknya, kemalangan jalan raya memang sesuatu yang sukar untuk dijangka.
Walau bagaimanapun, risiko untuk terlibat dalam kemalangan boleh dikurangkan jika awda mengamalkan pemanduan berhemah yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan sikap.
Untuk kuasai teknik membelok di selekoh dengan betul, awda perlu mengetahui cara memegang stereng dengan betul dahulu. Berikut merupakan antara tip dan teknik memegang stereng dengan betul yang dikongsikan oleh laman web Carlist Malaysia.
TEKNIK MEMEGANG STERENG
Jarak kedudukan tangan dan tubuh pemandu perlu berada dalam keadaan selesa semasa memegang stereng. Kedudukan terlalu jauh dan terlalu rapat tidak digalakkan.


Kemudian, tetapkan kedudukan stereng mengikut posisi yang sesuai. Pegang stereng pada kedudukan yang disarankan sahaja iaitu 10/2 (tangan kiri di kedudukan jam 10, manakala tangan kanan di kedudukan jam 2) dan 9/3 (tangan kiri di kedudukan jam 9, manakala tangan kanan di kedudukan jam 3).
Selepas itu, pegang stereng dengan kemas, tetapi jangan genggam terlalu kuat. Jangan silang tangan ketika membelok, sebaliknya tolak stereng ke atas dan tarik ke bawah dengan menggunakan kedua-dua belah tangan untuk membelok.
Seterusnya, pemandu perlu tahu teknik menekan brek dengan betul. Walaupun menekan brek ini kelihatan mudah sebab hanya perlu memijak pedal brek, tapi tindakan menekan brek pada waktu yang salah juga berisiko membuatkan kereta awda hilang kawalan.
TEKNIK MENEKAN BREK
Fokus pada pemanduan dan bersedia untuk menekan brek apabila kereta di hadapan menekan brek. Lebih baik tekan brek awal menggunakan daya yang sederhana bagi mengelakkan kereta berhenti secara mengejut.
Kemudian, jangan membrek secara mengejut kerana ia boleh mendatangkan risiko kenderaan awda dihentam dari belakang oleh kereta yang tidak sempat menekan brek.
Pada masa yang sama, jangan tekan brek mengejut sambil pusingkan stereng kereta.
Tekan brek sebelum belok, bukan semasa belok.
Untuk menekan brek dengan betul dan selamat, pemandu perlu fokus sepenuhnya pada pemanduan, khususnya kereta yang berada di hadapan. Sentiasa bersedia untuk menekan brek apabila kereta di hadapan menekan brek bagi memastikan kereta tidak membrek secara mengejut. Brek mengejut boleh mendatangkan risiko kemalangan seperti dihentam dari arah belakang oleh kereta yang tidak sempat menekan brek.
Ketika memasuki selekoh, jangan sesekali menekan brek secara mengejut. Tindakan tersebut boleh membuatkan kenderaan awda hilang kawalan terutama pada kelajuan tinggi. Ketika membelok, tayar kereta lebih mudah untuk mencengkam permukaan jalan jika ia hanya berdepan dengan satu tekanan dalam satu masa. Tindakan menekan brek semasa membelok akan memberikan tekanan berlebihan pada tayar dan boleh membuatkan kereta hilang kawalan.
Seeloknya, kurangkan kelajuan kereta dan gunakan gear rendah ketika melalui selekoh tajam. Jika kereta awda sedang bergerak laju, tekan brek dan perlahankan kereta sebelum memasuki selekoh dan lepaskan brek ketika membelok. Tindakan menekan brek sebelum selekoh boleh mengurangkan kebarangkalian kereta hilang traction control ketika membelok.
Selain itu, melalui selekoh pada kelajuan tinggi juga boleh mengakibatkan kereta terbabas atau berpusing terutama pada jalan basah. Jaga juga jarak kedudukan kenderaan awda dan kenderaan lain semasa membelok kerana segala pergeseran, walaupun kecil boleh menyebabkan kereta terbabas.
Kesimpulannya, kemalangan dapat dikurangkan jika majoriti pemandu mengamalkan pemanduan berhemah yang meliputi pengetahuan, kemahiran dan sikap. Ilmu pengetahuan dan kemahiran memandu memang mudah untuk dipelajari, namun sikap pemandu berhemah perlu dipupuk dari awal. – Agensi

