Ikan gapi (Guppy) merupakan sejenis ikan air tawar hiasan yang paling popular kerana memiliki warna yang cantik dan sangat mudah dipelihara.
Ikan ini juga cepat membiak dan tahan lasak. Di negara ini, ikan gapi hidup secara liar dan banyak didapati dalam parit.
Meskipun ia dikatakan mudah dipelihara kerana ia sesuai dalam banyak keadaan dan kualiti air. Namun, untuk menjadikan ikan gapi ini sebagai ikan hiasan terdapat beberapa cara yang dititik beratkan.
Pertama sekali menyentuh dari segi air. Kebiasaannya ramai yang melakukan kesalahan ketika memasukkan anti-klorin ke dalam air, di mana menitiskan dalam kuantiti banyak kerana adanya perasaan takut ikan-ikan gapi itu cepat mati. Seharusnya anti-klorin perlu dititiskan mengikut arahan yang tertulis pada botol anti-klorin yang kita gunakan.
Sekiranya rumah anda sudah terpasang penapis air yang menampung seisi rumah tidak perlu lagi untuk letak anti-klorin. Kalau masih mahu meletakkannya, memadai menitikkan dalam kuantiti yang sedikit.

Di samping itu juga, kesalahan yang sering dilakukan adalah ketika menukar air akuarium. Di mana rata-rata ada yang membuang kesemua air yang lama serta digantikan dengan air baharu. Walhal, memadailah dengan menukar tahap kekotoran air dan jangan membuang semua air lama, di mana seharusnya meninggalkan ½ atau 1/3 air lama serta bersihkan kotoran dan sisa, terakhir sekali tuangkan air baharu.
Perlu diingat bahawa kekerapan menukar air bergantung juga kepada saiz akuarium. Akuarium yang kecil lebih kerap perlu dibersihkan berbanding akuarium yang besar. Ianya juga bergantung kepada saiz komuniti ikan hiasan di dalam akuarium.
Ketika anda baharu saja mahu memelihara ikan gapi, anda perlu menunggu sehari atau dua hari sebelum memasukkan ikan ke dalam akuarium dan tidak perlu terburu-buru memasukkan ikan gapi tersebut.
Biarkan ikan yang masih dalam plastik terapung dalam akuarium selama 15 hingga 20 minit supaya ikan biasa dengan suhu air akuarium. Kemudian buka plastik, masukkan pula air dari akuarium, biarkan dalam 5-10 minit. Akhir sekali barulah lepaskan ikan perlahan-laham ke dalam akuarium.
Untuk mengetahui jantina ikan gapi yang kita pelihara iaitu yang jantan biasanya berekor kembang dan warnanya lebih cantik berbanding yang betina. Yang betina ekornya kecil dan warnanya tidak secatik macam jantan.
Ikan gapi akan masuk usia matang dan ada sifat untuk mencari pasangan sekitar dua hingga empat bulan. Kalau tengok ikan betina perutnya membulat, bolehlah diasingkan. Dan setelah lahir semua anak ikan, ibunya perlu diasingkan dari anak-anaknya kerana ikan dewasa ada naluri untuk makan anaknya yang baru lahir.
Anda tidak perlu merasa hairan jika ikan gapi ini sering meminta makan. Apa yang perlu dilakukan adalah perlu memberi makan dalam skala atau mengikut jadual. Dicadangkan memberi makanan ikan dua hingga empat kali sehari, dalam kuantiti yang sedikit.
Jika anda mahu mencantikkan akuarium anda yang berisi ikan gapi, seharusnya anda meletakkan pokok hiasan yang hidup dalam air berbanding beli pokok hiasan plastik.
Fungsinya selain menjadi tempat bermain untuk ikan, ianya juga menjadi tempat untuk ikan bertelur. Ianya juga menjadi tempat perlindungan bagi anak ikan yang baharu lahir dari dimakan oleh ikan dewasa. Sebelum memasukkan batu hiasan, rendamkan semalaman dahulu. Jangan beli-beli terus masukkan dalam akuarium, ia boleh menganggu pH air.
Menyentuh dari segi pam, disarankan menggunakan pam bersaiz kecil kerana jika menggunakan yang bersaiz besar dikhuatiri ikan gapi tersedut disebabkan badannya yang kecil. – Agensi