Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cara hadapi temu duga universiti

    Sesetengah universiti memerlukan pelajar yang memohon kursus untuk menghadiri temu duga.

    Jika awda memohon di salah sebuah universiti sedemikian, berikut adalah beberapa perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan untuk membantu awda membuat persediaan temu duga.

    Berikut beberapa langkah yang boleh diikuti untuk mendapat tawaran dari universiti yang awda inginkan.

    1. Buat kajian

    Apa yang akan membuatkan awda menonjol daripada calon lain ialah sejauh mana pengetahuan awda.

    Lawati laman web universiti dan fahami misi dan visinya. Semak bahan penyelidikan yang sama dengan apa yang awda pohonkan, sama ada yang baharu atau lama, dan ketahui bagaimana para graduan yang telah tamat pengajian membina kerjaya mereka selepas tamat menjalani kursus tersebut.

    Kemudian susun jawapan awda kepada soalan yang berpotensi dengan memasukkan semua maklumat yang berkaitan.

    Seorang pelajar itu mestilah menunjukkan semangat dan keyakinan semasa sesi temu duga.

    2. Berpakaian kemas

    Tanggapan pertama dari penemu duga adalah sangat penting. Untuk lelaki, pakai baju yang kemas dan padankan dengan seluar yang bersesuaian.

    Awda juga boleh memakai tali leher dan blazer untuk melengkapkan penampilan.

    Bagi wanita, awda boleh memakai baju kurung atau blaus yang dipadankan dengan seluar atau skirt. Jangan keterlaluan menggayakan gayakan rambut awda. Asalkan awda kelihatan kemas.

    3. Tunjuk watak positif

    Walaupun awda seorang introvert, jangan perlihatkan perwatakan tersebut tetapi tunjukkan sifat yang terbuka dalam diri awda. Jika awda diarahkan soalan yang awda tidak jangkakan, jangan biarkan ia membebani awda. Jawab seyakin mungkin.

    Kebanyakan penemu duga akan mencari remaja yang menunjukkan semangat dan keyakinan. Oleh itu, jangan sembunyikan perwatakan awda yang positif, serlahkan kepada mereka supaya mereka dapat mengenali awda dengan lebih jelas.

    Ketika dalam sesi temu duga tersebut, condongkan badan ke hadapan sedikit untuk menunjukkan yang awda berminat dengan perbualan dan sentiasa mengukir senyuman lebar pada wajah awda.

    4. Jangan berbohong

    Jangan memalsukan maklumat. Ia akan menjejaskan peluang awda untuk lulus temu duga dan juga merosakkan reputasi awda.

    5. Jangan hilang fokus

    Penemu duga mungkin mengatakan satu atau dua perkara yang mungkin menyinggung awda. Awda harus ingat untuk tidak membiarkan ia menyebabkan awda hilang fokus.

    Jangan menyimpan dendam terhadap mereka dan pastikan sesi itu penuh profesional. Teruskan menjawab soalan dengan tenang. Kadang-kadang, mereka mungkin menguji untuk melihat sama ada awda boleh menerima tekanan dan kritikan.

    6. Jangan hafal jawapan awda

    Adalah penting untuk menyediakan jawapan awda tetapi jangan menghafalnya perkataan demi perkataan. Hanya perlu mengingat perkara utama adalah cara yang betul untuk menangani soalan ketika temu duga.

    Sesuatu soalan boleh ditanya dengan cara yang berbeza. Contohnya, “Mengapa kami harus memilih awda untuk melanjutkan pelajaran di universiti ini?” Boleh ditanya dengan “Apa yang membuatkan awda menonjol daripada calon lain?”.

    Walaupun perkataan mereka berbeza, ia boleh dijawab dengan cara yang hampir sama. Walau bagaimanapun, jika awda menghafal jawapan awda, awda mungkin lupa hafalan awda, akhirnya gugup yang boleh menggagalkan dalam temu duga awda. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda