Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Cara lindungi privasi Whatsapp

    Oleh Nurdiyanah R.

    Gambar serahan CSB

    Dengan mempunyai lebih dua bilion pengguna di seluruh dunia, aplikasi mesej WhatsApp yang dimiliki oleh Facebook dan sekarang dikenali dengan nama Metaverse, semakin meluas digunakan bukan saja sebagai perhubungan seharian malah untuk kegunaan pembelajaran dan bekerja dari rumah (WFH).

    Di Negara Brunei Darussalam, aplikasi WhatsApp yang boleh dimuat turun secara percuma ini tidak dinafikan mempunyai ramai penggunanya.

    Melalui kaji selidik daripada Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT) semasa awal pandemik lalu mengenai bekerja atau bersekolah dari rumah mendapati daripada 1,574 responden secara keseluruhannya, sebanyak 91 peratus menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai platform membuat kerja mereka berbanding aplikasi-aplikasi lain.

    Statistik yang dikongsikan oleh Pegawai Pemasaran dan Kesedaran Keselamatan Siber, Cyber Security Brunei (CSB), Dayang Siti Nor Izuana binti Ayob ketika ditemu bual penulis, baru-baru ini, turut menyatakan platform yang mudah digunakan, pantas dan efektif itu juga tidak terlepas daripada risiko keselamatan.

    Pentingnya privasi

    Walaupun ia salah satu kaedah yang memudahkan komunikasi dalam kehidupan sehari-hari lebih-lebih lagi dengan adanya akan segala maklumat berada di hujung jari, namun sebagai pengguna juga mestilah sentiasa berhati-hati demi keselamatan bersama.

    Dayang Siti Khadijah turut berkongsi beberapa langkah terbaik ketika menggunakan aplikasi WhatsApp.
    Dayang Siti Nor Izuana mengongsikan mengenai privasi menggunakan WhatsApp.

    Dalam kita meniti arus platform aplikasi WhatsApp yang seakan begitu mudah, pantas dan efektif dalam memberi kemudahan kaedah berkomunikasi dalam kehidupan sehari-hari, lebih-lebih lagi dengan adanya akan segala maklumat berada di hujung jari, namun kita sebagai pengguna juga mestilah sentiasa berhati-hati demi keselamatan bersama.

    Berbicara mengenai keselamatan ketika menggunakan aplikasi berkenaan, Dayang Siti Nor Izuana mengemukakan perlunya setiap pengguna menetapkan privasi dengan menuju ke ruang Settings > Account > Privacy.

    “Pentingnya privasi ini bagi keperluan untuk menetapkan siapa yang boleh melihat kali terakhir awda dalam talian, siapa yang boleh melihat foto profil awda, siapa yang boleh membaca penerangan awda, siapa yang boleh memasukkan awda ke dalam kumpulan dan siapa yang boleh melihat status WhatsApp awda.

    “Kita boleh mengubah tetapan tersebut sama ada kepada Nobody, My Contacts ataupun Everyone,” jelasnya lanjut.

    Jauhi risiko si penggodam

    Selain itu, Dayang Siti Nor Izuana juga menekankan bahawa beberapa langkah yang boleh diamalkan bagi mengurangkan risiko akaun aplikasi WhatsApp diambil ahli oleh si penggodam iaitu salah satunya dengan Two-Step-Verification.

    Jelasnya, di mana setiap pengguna boleh menambah langkah keselamatan akaun WhatsApp mereka dengan menyimpan nombor pin atau passcode.

    Bagi penulis, langkah keselamatan ini sangat penting untuk dititikberatkan oleh semua pengguna, kerana tidak lama dahulu dan tidak mustahil akan terjadi lagi, apabila berlakunya kepada sesetengah individu yang melaporkan WhatsApp mereka telah digodam oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

    Penggodam bukan saja telah menggodam akaun WhatsApp mereka, namun juga menghantar mesej dan gambar tidak sepatutnya kepada kumpulan laman sembang berkenaan.

    Selain itu, apa yang perlu dielakkan adalah dengan tidak memberi kata laluan apabila ada menerima mesej yang meminta untuk menghantar semula kod WhatsApp yang kononnya telah disalah hantar! Walhal itu adalah salah satu teknik si penggodam hendak mencuri akaun WhatsApp awda.

    Mengelak gambar tular

    Sementara itu, bagi mengurangkan gambar daripada tular, Dayang Siti Nor Izuana menekankan para pengguna juga boleh menetapkan ciri View Once ketika berkongsi gambar dalam aplikasi WhatsApp.

    “Dalam hal ini apabila kita menggunakan ciri berkenaan, orang yang menerima gambar hanya boleh melihat gambar yang dihantar sekali sahaja.

    “Gambar tersebut tidak dapat muat turun ke galeri telefon si penerima. Pastinya ciri berkenaan adalah jalan terbaik untuk mengurangkan berlakunya gambar daripada tular,” ujarnya lagi.

    Report dan Block

    Dalam pada itu, Dayang Siti Khadijah binti Haji Ismail selaku penganalisis keselamatan siber, CSB turut menambah lanjut semasa ditemui penulis bahawa terdapat tiga jenis mesej yang tidak diingini selain daripada mesej yang berunsur buli yang sekali gus begitu merbahaya jika ia ditularkan.

    Mesej tersebut adalah mesej smishing iaitu di mana ia meminta butir peribadi pengguna untuk tujuan menipu atau scam; dan mesej spam merupakan mesej yang digunakan untuk mempromosi perkara yang tidak dingini; serta maklumat yang tidak sahih sebagai contoh berita mengenai sekatan jalan (roadblock) yang dijalankan oleh pihak penguasa yang didapati tidak benar.

    Beliau turut mengongsikan bahawa jika seseorang pengguna mempunyai masalah dengan kenalan yang tidak diingini dalam aplikasi WhatsApp maka adalah lebih baik menggunakan ciri report dan block.

    “Sekiranya kita menetapkan ciri-ciri berkenaan maka seseorang yang mengganggu tidak dapat menghubungi kita menerusi aplikasi ini. Orang yang disekat itu juga tidak dapat meliat gambar profil dan juga status kita,” jelasnya lagi sebelum mengakhiri sesi pertemuan bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...