Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cara menanam pokok jagung manis

    JAGUNG adalah salah satu tanaman yang boleh dikatakan terkenal di negara kita. Jagung sangat digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Pelbagai cara jagung ini dimakan antaranya direbus, dijadikan bubur atau dimakan tongkol mudanya atau baby corn sebagai campuran dalam sayur.

    Apa kata anda cuba menanam jagung di kebun atau di halaman rumah anda. Jika anda menanam enam pokok jagung, ianya membekalkan lapan hingga sembilan biji jagung yang boleh dinikmati oleh keluarga anda. Ini kerana sepokok jagung akan mengeluarkan satu atau dua tongkol jagung. Berikut adalah panduan dan cara menanam pokok jagung;

    Jagung adalah tanaman yang sesuai ditanam di negara kita. Kegusaran dan kebimbangan menanam jagung amat kurang jika dibandingkan dengan menanam asparagus atau salad. Terdapat dua cara menanam jagung iaitu ditanam dalam pasu dan di atas batas. Jika memilih menanam di dalam pasu pastikan memilih pasu yang sederhana besar atau jenis pasu besar agar akar bebas bergerak di dalamnya.

    Memilih variati jagung yang hendak ditanam

    Anda boleh mendapatkan benih-benih jagung di kedai-kedai pertanian berhampiran. Anda boleh bertanyakan kepada penjual berapa jenis variati yang dijual, perbezaan dan persamaan serta jenis tanah yang sesuai. Hal ini penting untuk mengetahui adakah benih itu sesuai ditanam di halaman rumah anda.

    Anda boleh mencuba variati jagung seperti mas madu (jagung manis); Jagung Taiwan yang sangat digemari dan permintaan tinggi di pasaran namun mudah diserang ulat pengorek; Jagung Korea dan Jagung Hibrid 338.

    Jagung adalah tanaman yang sesuai ditanam di negara kita. Kegusaran dan kebimbangan menanam jagung amat kurang jika dibandingkan dengan menanam asparagus atau salad. – Gambar hiasan

    Anda juga boleh menanam jagung thai manis atau jagung kampung yakni jagung kategori heirloom seperti jagung pulut dan jagung pandan (harum seperti pandan). Biasanya jagung kampung ini hanya boleh didapati di kampung atau kedai yang menjual benihnya. Namun untuk pemula, anda boleh membeli apa sahaja benih jagung yang ada untuk ditanam. Semua variati jagung sesuai ditanam di dalam pasu.

    Pemilihan kawasan menanam

    Cari kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi enam jam, hampir dengan sumber air, elakkan menanam pada jenis tanah liat dan berbatu, namun jika terpaksa, tanah tersebut harus digaul dengan kompos dan jika boleh ditambah dengan tanah hitam, peat-moss atau topsoil. Kompos, peat-moss dan topsoil akan membantu memperbaiki struktur tanah dengan pengudaran dan saliran air yang baik serta mengekalkan kelembapan pada tanah tersebut.

    Bagi menanam di dalam pasu pula, anda bolehlah letakkan pasu-pasu tersebut pada kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi enam jam. Jagung memerlukan cahaya sepenuhnya untuk tumbuh besar. Jika tidak, jagung anda panjang tinggi seperti galah dan bila ditiup angin ia akan mudah patah serta buahnya tidak cukup sifat dan kecil.

    Penyediaan tanah dan pembajakan jika perlu

    Bagi yang mempunyai tanah yang luas di halaman rumah dan mahu menanamnya terus pada tanah, anda perlu membuat batas yang sesuai. Batas ideal bagi jagung ialah 15 hingga 25 sentimeter (secara ladang) atau kurang dari itu pun boleh, ikut kesesuaian anda. Gembur batas tersebut hingga lerai tanah-tanah tersebut.

    Bagi tanah jenis merah (tanah liat peroi, tanah peroi ketika kering dan meleket ketika hujan) anda gembur tanah tersebut dan campurkan dengan kompos lebih kurang 15 kilo atau mengikut kesesuaian pada batas. Sekiranya tanah masam (berasid), tabur serbuk kapur pada batas. Jika tanah jenis tanah liat (keras masa musim kemarau dan meleket ketika hujan) campurkan dengan peat-moss atau topsoil atau kompos buatan sendiri atau kompos yang dibeli pada tanah tersebut.

    Gaul hingga sebati antara tanah liat dengan pembaikpulih tanah di atas. Sekiranya terdapat kilang kelapa sawit, rajin-rajinlah ke kawasan itu, biasanya terdapat sisa buangan kelapa sawit berwarna hitam seperti kompos. Bahan tersebut juga boleh digunakan untuk campuran pada tanah liat tersebut. Supaya tanah lebih baik, gaul bersama tinja binatang reput.

    Maka di sini tanah penanaman jagung anda mempunyai tinja binatang, kompos, peat-moss dan topsoil, serta kompos kelapa sawit, ini dikira tanah paling ideal untuk jagung. Namun jika batas anda hanya ada tinja binatang dan kompos juga sudah memadai untuk jagung anda. Tetapi jika tanah batas penanaman jagung tidak dicampurkan apa-apa, anda akan putih mata melihat pokok jagung tersebut.

    Manakala bagi menanam di dalam pasu pula, pilih pasu bersaiz 18 inci ke atas untuk sepokok jagung. Anda memerlukan lima hingga 10 pasu untuk mendapatkan lima hingga 10 buah jagung. Anda juga boleh menggunakan apa-apa kontena atau pot yang sesuai untuk menanam jagung.

    Perlu diingat bahawa jangan guna pasu, kontena atau pot bersaiz di bawah 18 inci kerana pertumbuhan pokok jagung tidak menarik. Guna nisbah media penanaman 2:1:1 di mana dua bahagian tanah gembur, satu bahagian kompos atau tinja binatang: satu bahagian pasir sungai jika perlu untuk satu pasu.

    Anda boleh mendapatkan benih-benih jagung di kedai-kedai pertanian berhampiran. Anda boleh bertanyakan kepada penjual berapa jenis variati yang dijual, perbezaan dan persamaan serta jenis tanah yang sesuai.
    Cari kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi enam jam, hampir dengan sumber air, elakkan menanam pada jenis tanah liat dan berbatu, namun jika terpaksa, tanah tersebut harus digaul dengan kompos dan jika boleh ditambah dengan tanah hitam atau peat-moss atau topsoil.

    Semaian dan menanam benih jagung

    Benih jagung boleh ditanam terus pada tanah atau pasu. Tidak perlu semai dan alihkan ke tempat baharu. Ini kerana apabila anak pokok jagung dialihkan, ia memperlambatkan pertumbuhannya dan menambah kerja yang mudah kepada yang rumit. Semasa proses penanaman jagung, benih jagung tidak pernah direndam ke dalam air dan benih jagung masih boleh bercambah selepas tiga hari. Tanam benih jagung dua biji untuk satu lubang pada jarak antara lubang iaitu 20 inci (40 sentimeter) atau mengikut kesesuaian anda. Jangan lupa timbus dan siram dengan air secukupnya.

    Pada pasu pula, tanam dua biji jagung pada lubang yang dibuat ditengah-tengah pasu dan apabila benih sudah tumbuh, pilih anak pokok jagung yang tidak sihat atau terbantut dan cabut. Tinggalkan hanya sepokok di dalam pasu dan siram.

    Pembajaan dan penjagaan

    Terdapat dua cara pembajaan iaitu pembajaan secara organik dan pembajaan secara komersil. Pembajaan secara organik dimulai pada minggu kedua selepas anak pokok benih tumbuh (kira-kira dua hingga tiga daun), yakni setiap selang dua minggu bubuh baja pada sekeliling pokok, kaedah ini digunakan bagi mereka yang mahukan jagung tersebut tumbuh secara organik.

    Bagi pembajaan secara komersil pula dimulai pada minggu pertama dengan NPK blue special (12:12:17:2), minggu keempat ialah baja tinja binatang bercampur dengan NPK blue dan baja garam (warna putih), minggu ketujuh ialah baja garam dan sedikit baja subur (merah). Cara pembajaan di atas sesuai digunakan dalam pasu, cumanya guna sukatan satu sudu setiap baja kimia dan dua genggam bagi baja organik. Berhati-hati bila menggunakan baja kimia atau urea pada jagung, jangan terkena pada batang pokok, ia akan terbakar dan mati. Letak baja tersebut jauh pada batang pokok.

    Buang rumput pada batas, kerja ini adalah wajib bagi membolehkan pokok jagung tidak bersaing untuk mendapatkan makanan. Jika boleh letakkan mulsa (rumput kering, daun kering, kayu reput, cocopeat, jerami padi, lalang kering) pada batas atau pasu untuk kelembapan dan juga boleh mengurangkan rumput di atas batas dan pasu. Berhati-hati ketika merumput, jangan mencederakan akar jagung. Siram pokok jagung dua kali sehari dan tidak perlu ketika hujan.

    Jagung akan diserang makhluk perosak semasa anak pokok dan musim mulai berbuah. Daun anak pokok akan dimakan oleh belalang, siput dan lintah bulan. Buang siput dan lintah bulan jauh dari pokok jagung. Ulat pengorak buah akan bertelur pada buah jagung menyebabkan jagung cacat, oleh itu sembur racun jika perlu.

    Namun bagi pengamal makanan organik (bebas racun serangga dan baja kimia), seimbangkan PH tanah dan baja, air dan kelembapan pada pokok jagung. Jangan biarkan pokok jagung mendapat tekanan (stress). Sekiranya ini berlaku, pokok jagung (dan tumbuhan lain) mengeluarkan bahan kimia yang boleh dihidu oleh makhluk perosak untuk datang kepadanya dan merosakkan pokok jagung tersebut. Banyak kajian berhubung perkara ini dan sudah dibuktikan dengan kajian sains. Jika masalah ini diatasi dengan baik, jagung anda adalah bebas kimia dan organik sifatnya.

    Penuaian hasil jagung

    Buah jagung matang kira-kira 68 hingga 72 hari selepas ditanam. Apabila anda melihat rerambut buah jagung sudah kering dan hitam, itu tandanya jagung sudah matang. Maka usaha anda selama ini berhasil untuk menikmati buah jagung tanam sendiri. Nikmati hasil tanam sendiri bersama-sama keluarga. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda