Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Orang yang nazak disebut dalam bahasa Arab sebagai muhtadhar. Ia bermaksud orang yang hampir mati dan permulaan sakaratulmaut iaitu ketika roh dicabut daripada jasad.
Dalam masyarakat kita, sudah menjadi kebiasaan apabila seseorang mengalami sakit tenat ataupun nazak, sanak saudara, jiran dan sahabat handai akan datang mengunjungi pesakit tersebut dengan mendoakannya, membaca ayat-ayat al-Qur’an dan sebagainya. Kebiasaan masyarakat kita ini adalah amalan yang terpuji dan sayugia ia diteruskan.
Apakah sebenarnya yang perlu dilakukan apabila menghadapi orang yang nazak ini? Memang ada orang tidak mengetahui sepenuhnya apa yang diajarkan oleh Islam apabila menghadapi orang yang nazak. Maka perkara ini perlu diketahui, lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga orang yang nazak agar tidak terpinga-pinga memikirkan apa yang perlu dilakukan. Oleh itu, dijelaskan bagaimana cara menghadapi orang yang nazak seperti berikut:
Adab-adab menghadapi orang yang sedang nazak
Islam ada mengajarkan apa yang perlu dilakukan apabila menghadapi orang yang nazak ini, seperti berikut:
1. Mentalkin kalimah tauhid.
Sunat mentalkinkan orang yang nazak itu dengan kalimah tauhid iaitu: La Ilaha Illa Allah. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Kamu talkinkanlah (sebutlah) sesiapa yang hampir mati di kalangan kamu dengan La Ilaha Illa Allah (tidak ada Tuhan melainkan Allah).” (Hadis riwayat Muslim)
Adalah tidak disunatkan menambah Muhammadur Rasulullah selepas kalimah tauhid tersebut, kerana mengikut zahir hadis di atas yang hanya menyebutkan kalimah tauhid sahaja.
Cara mentalkinkan orang yang nazak itu memadailah dengan menyebut kalimah tauhid di sisinya sekali atau dikatakan kepadanya: “Mengingati Allah Ta‘ala itu membawa berkat.” supaya dia ingat dan menyebut kalimah tauhid itu. Sekiranya orang yang nazak itu belum juga menyebut kalimah tauhid maka diamlah seketika kemudian baharulah mengulangi talkin.

Janganlah mendesak orang yang nazak dan janganlah dikatakan kepadanya: “Ucaplah atau sebutlah atau katakanlah!” supaya tidak menyakitinya atau menimbulkan rasa meluat.
Sekiranya orang yang nazak itu telah menyebut kalimah tauhid, maka janganlah lagi diulangi talkin tersebut selagi orang yang nazak itu tidak berkata-kata hal lain sekalipun zikir. Jika orang yang nazak itu berkata-kata hal lain maka ulangilah talkin itu supaya kesudahan kata-katanya adalah kalimah tauhid. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Mu‘az bin Jabal r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang kesudahan (akhir) kata-katanya La Ilaha Illa Allah nescaya dia masuk syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Orang yang melakukan talkin itu sunat terdiri daripada orang lain yang bukan daripada ahli warisnya supaya mengelak daripada tohmahan untuk menda-patkan segera harta waris atau bukan terdiri daripada orang yang bermusuhan dengannya, orang yang berdengkian dengannya atau seumpamanya.
Sekiranya orang lain itu tidak ada, maka orang yang mentalkinkannya ialah ahli warisnya yang terlebih kasih sayangnya.
Menurut Imam al-Mawaridi Rahimahullah, perbuatan mentalkinkan itu dilakukan terlebih dahulu sebelum orang yang nazak itu dibaringkan dengan miring ke kanan. Sementara menurut Ibn al-Firkah Rahimahullah, jika mampu melakukan antara talkin dan baring dengan miring itu sekaligus maka lakukanlah ia dengan serentak akan tetapi jika tidak mampu melakukannya dengan serentak maka mulakanlah dahulu de-ngan talkin.
2. Membaringkannya dengan memi-
ringkan ke kanan serta menghadap kiblat.
Orang yang nazak itu sunat dibaringkan dengan memiringkannya ke kanan sepertimana kedudukan meletakkan mayat di liang lahad. Demikian juga, sunat menghadapkannya ke kiblat kerana ia semulia-mulia arah.
Jika sukar memiringkannya ke kanan disebabkan kawasan yang sempit atau seumpamanya, maka miringkanlah dia ke kiri. Jika yang demikian itu pun sukar, maka baringkanlah dia dengan menelentangkannya dan hadapkan wajah dan kedua tapak kakinya ke kiblat serta tinggikan sedikit kepalanya dengan meletakkan sesuatu seperti bantal agar wajahnya menghadap kiblat.
3. Membaca surah Yaasin di sisinya
Sunat membaca surah Yaasin di sisi orang yang nazak. Sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar r.a., Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Bacalah oleh kamu Yaasin ke atas sesiapa yang hampir mati di kalangan kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Ia digalakkan membacanya dengan suara yang jahr (nyaring). Hikmat membaca surah Yaasin di sisi orang yang nazak adalah supaya dia ingat akan hal-hal hari kiamat dan hari kebangkitan. Ini kerana surah Yaasin itu terkandung dalamnya hal-hal hari kiamat, hari kebangkitan, nikmat syurga dan azab neraka.
Menurut sebahagian ulama, digalakkan juga membaca surah ar-Ra‘d di sisi orang yang nazak dengan suara yang sir (perlahan) bagi memudahkan keluar roh.
4. Menegukkannya air
Sunat menegukkan air kepada orang yang nazak malahan wajib jika ada tanda-tanda orang yang nazak itu berkehendak kepada air. Ini kerana pada saat nazak itu berlaku si pesakit akan terasa dahaga yang amat sangat.
Demikian juga ditakuti pada saat dahaga itu, syaitan mengambil kesempatan untuk menyesatkan orang yang na-zak dengan menawarkan kepadanya air, syaitan berkata kepadanya: “Katakanlah olehmu terlebih dahulu bahawa tidak ada Tuhan melainkan aku nescaya akan aku berikan engkau minum.” Sekiranya orang yang nazak itu berkata demikian sepertimana yang disuruh oleh syaitan itu sedangkan dia sedar, maka mati-nya dikhuatiri dalam keadaan tidak beriman.
5. Mengelokkan sangkaannya dengan rahmat Allah Ta‘ala.
Sunat mengelokkan sangkaan orang yang nazak bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala merahmatinya dan mengampuni dosa-dosanya, malahan wajib jika orang yang nazak itu ada tanda-tanda kecewa dan putus asa. Suruhan bersangka baik terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala ini ada disebutkan dalam hadits riwayat Jabir bin ‘Abdullah r.a., tiga hari sebelum kewafatan Rasulullah beliau mendengar Baginda bersabda yang maksudnya:
“Janganlah sekali-kali orang yang akan mati di kalangan kamu melainkan dia mengelokkan sangkaan terhadap Allah ‘azza wa Jalla.” (Hadis riwayat Muslim)
Adab-adab menghadapi orang nazak yang baru meninggal dunia
Sebaik sahaja orang yang nazak itu meninggal dunia, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan, seperti berikut:
1. Memejamkan matanya
Sunat memejamkan mata mayat supaya tidak kelihatan buruk pada pandangan. Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a. katanya yang maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengunjungi Abu Salamah (yang meninggal dunia) dan matanya terbuka lalu Baginda memejamkannya. Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya roh apabila dicabut nescaya mata mengikutinya…” (Hadis riwayat Muslim)
Ketika memejamkan mata mayat itu sunat sambil membaca yang maksudnya: Ertinya: “Dengan nama Allah dan atas syariat (agama) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”
2. Menutup mulutnya
Sunat menutup mulut mayat dengan cara melilit dari bawah kedua ra-hang mulut hingga ke atas kepala mayat dengan pembalut supaya mulut mayat itu tidak sentiasa terbuka dan tidak dimasuki oleh serangga.
3. Melembutkan sendi anggotanya
Sunat melembut-lembutkan sendi anggota mayat iaitu dengan cara melipatkan lengan bawah ke lengan atas kemudian kembali meluruskannya, melipatkan betis ke paha dan dari paha ke perut kemudian kembali meluruskannya dan melembut-lembutkan jari jemarinya. Ini bertujuan supaya mudah memandikan mayat.
Ia dilakukan sebaik sahaja orang itu meninggal dunia kerana tubuh badan manusia masih hangat sebaik sahaja dicabut rohnya dan sendi-sendi anggotanya masih boleh dilipat-lipat. Jika ia lambat dilakukan maka sukarlah untuk melembutkan sendi anggotanya itu.
4. Menanggalkan pakaian yang dipa-kainya dan menutup seluruh badannya dengan kain nipis.
Sunat menanggalkan pakaian yang dipakainya ketika mati dan menutup seluruh badannya dengan kain yang nipis supaya mayat itu tidak hangat dan tidak cepat rosak. Kemudian diselitkan hujung kain di bawah kepala dan di bawah kaki mayat supaya tidak terdedah.
5. Meletakkan sesuatu yang berat di atas perutnya
Sunat meletakkan sesuatu yang berat daripada jenis besi di atas perut mayat. Jika tidak diperolehi maka gunakan tanah yang basah dan jika tidak diperolehi juga maka gunakan apa sahaja barang yang mudah seperti batu supaya perut mayat itu tidak kembung dan tidak kelihatan buruk pada pandangan.
Barang yang diletakkan di atas perut mayat itu sekurang-kurangnya seberat 20 dirham dan tidak juga terlalu berat sekira-kira tidak menyakiti apabila di-
letakkan di atas perut orang yang hidup. Jika ia terlalu berat maka hukumnya haram. Janganlah diletakkan atas perutnya mushaf, kitab-kitab hadits dan kitab-kitab ilmu syara‘.
6. Meletakkannya di atas katil
Sunat meletakkan mayat di atas katil atau di tempat-tempat yang tinggi supaya tidak bersentuhan dengan kelembapan tanah yang menyebabkan mayat itu cepat rosak. Jangan diletakkan di atas tilam kerana ia boleh menyebabkan mayat itu hangat dan cepat rosak.
7. Menghadapkan ke kiblat
Sunat menghadapkan mayat itu ke kiblat apabila terdaya sepertimana kedudukannya ketika dalam keadaan nazak. Jika tidak ada kesukaran untuk mayat itu dibaringkan dengan cara memiringkannya ke kanan atau ke kiri, maka sesuatu yang diletakkan di atas perut mayat itu perlulah diikat dengan pembalut supaya tidak terjatuh.
Orang yang sepatutnya melakukan perbuatan memejamkan mata mayat, menutup mulut mayat dan kerja-kerja seterusnya adalah mahram si mati yang terlebih kasih sayangnya.
Oleh itu, sunat bagi mahram lelaki mengurus mayat lelaki dan mahram perempuan mengurus mayat perempuan. Jika mahram lelaki mengurus mayat perempuan dan sebaliknya adalah harus. Demikian juga kedudukan suami isteri malahan lebih utama suami mengurus mayat isteri dan isteri mengurus mayat suami.
Setelah diyakini kematian orang yang nazak itu dengan adanya tanda-tanda kematian seperti kedua-dua kaki lembik dan tidak menegak, hidung condong dan kedua-dua pelipis cekung atau pengesahan daripada pegawai perubatan yang diiktiraf, maka sunat menyegerakan urusan mayat seterusnya iaitu memandikan, mengkafankan, sembahyang mayat dan mengembumikan mayat. Malahan wajib menyegerakannya jika ditakuti mayat itu akan rosak. Walau bagaimanapun jika tidak diyakini kematian orang yang nazak itu, maka wajiblah diakhirkan pengurusannya sehingga diyakini kematiannya.
Demikianlah penjelasan mengenai cara menghadapi orang yang nazak dan orang yang baru meninggal dunia. Mudah-mudahan penjelasan ini akan menambah kefahaman mengenainya dan menjadi perhatian terutama kepada ahli keluarga si mati supaya bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan orang yang nazak dan orang yang baru meninggal dunia itu.