Sunday, January 19, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cara menghilangkan najis secara betul

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri kedua

    Permasalahan berkaitan dengan najis

    Berikut dibawakan beberapa isu berkaitan najis ‘aini, hukmi dan mutanajjis menurut pandangan syarak.

    Tersentuh najis mughallazhah dalam keadaan kering

    Seorang tersentuh anjing dengan tangannya, padahal tangannya itu kering dan anjing itu kering, maka tiadalah dihukumkan tangannya itu bernajis. Berbeza hukumnya jika salah satu pihak itu yang bersentuhan itu dalam keadaan basah, lalu dia memegang anjing itu, maka tangannya itu terkena najis mughallazhah.

    Oleh yang demikian, wajiblah dia melakukan sertu pada tangannya itu.

    Tidak yakin sama ada terkena najis atau tidak

    Untuk menentukan sesuatu itu najis atau terkena najis, hendaklah dipastikan ada ‘ain (benda) najis itu atau sifatnya yang terdiri daripada bau, warna atau rasa.

    Jika telah pasti, maka hendaklah dihilangkan ‘ain najis dan sifat-sifatnya. Jika tiada wujud salah satu daripada perkara-perkara tersebut, maka tempat atau benda itu tetaplah suci yakni kembali kepada hukum asal (suci), kecuali ada sesuatu yang menyebabkan kita yakin tempat atau benda itu bernajis seperti najis hukmi.

    Melakukan sertu dengan menggunakan selain tanah adalah tidak memadai, umpama dengan menggunakan sabun dan seumpamanya seperti cecair dan bahan pencuci moden. – Gambar hiasan
    Perbuatan merendam atau mencelup pakaian yang masih mempunyai zat atau jirim najis ke dalam air yang tenang, (tidak mengalir umpama dalam besen, gayung atau baldi) yang sedikit, iaitu kurang daripada dua qullah, adalah tidak memadai. – Gambar hiasan

    Jika kereta seseorang terlanggar anjing atau khinzir, maka adalah wajib disertu bahagian-bahagian kereta yang diyakini telah dicemari oleh najis mughallazhah, jika kereta itu hendak dipakai atau digunakan lagi, kerana menjauhi najis adalah wajib sekalipun di luar sembahyang.

    Sertu dengan selain tanah

    Melakukan sertu dengan menggunakan selain tanah adalah tidak memadai, umpama dengan menggunakan sabun dan seumpamanya seperti cecair dan bahan pencuci moden. Ini kerana perintah sertu, iaitu mencuci dengan air mutlak sebanyak tujuh kali dan salah satu daripadanya dengan air yang dicampur dengan tanah, adalah merupakan perkara ta‘abbudiy (semata-mata menurut perintah Allah SWT).

    Selain menggunakan tanah bercampur air, ia boleh digantikan dengan air yang keruh seperti air mengalir (seperti air sungai) yang telah bercampur dengan tanah.

    Perkara mutanajjis

    Dalam keadaan tertentu, sesuatu bahagian atau tempat yang suci yang terkena dengan najis dan salah satu pihak itu dalam keadaan basah, boleh menjadikan bahagian atau tempat yang suci itu mutanajjis (menjadi najis kerana tersentuh dengan najis).

    Berikut dibawakan beberapa keadaan tersebut sebagai contoh serta penjelasan ringkas mengenainya.

    Menyentuh benda lain setelah tersentuh anjing

    Seseorang yang tersentuh anjing dengan tangannya dalam keadaan basah, maka tangannya itu telah terkena najis mughallazhah.

    Apabila dia memegang sesuatu benda lain dalam keadaan tangannya masih basah (setelah memegang anjing tadi), dan sebelum dia menyucikan tangannya itu, maka benda yang dipegangnya itu juga telah kena najis mughallazhah.

    Menyentuh tangan orang bukan Islam

    Persoalan menyentuh, memegang, menjabat dan seumpamanya tangan orang bukan Islam atau orang kafir yang menyentuh daging babi, maka tetaplah tangan orang bukan Islam itu najis secara hukmi sehinggalah tangan tersebut dicuci atau disertu sepertimana yang dituntut syarak.

    Namun jika tangan orang kafir itu bersih daripada zat najis mughallazhah seperti darah atau apa-apa jua daripada babi, atau tidak nampak kesan najis babi itu sekalipun tidak dicuci seperti di atas, maka apa-apa yang disentuh oleh orang kafir itu tidaklah menjadikannya najis.

    Membersih dengan cara mencelup atau merendam

    Cara membersihkan sesuatu seperti pakaian yang terkena najis, selain najis mughallazhah, adalah dengan mengalirkan atau menjirus dengan air yang menghilangkan zat dan sifat najis dari segi bau, warna dan rasa.

    Perbuatan merendam atau mencelup pakaian yang masih mempunyai zat atau jirim najis ke dalam air yang tenang, (tidak mengalir umpama dalam besen, gayung atau baldi) yang sedikit, iaitu kurang daripada dua qullah, adalah tidak memadai.

    Hasilnya, bahagian yang terkena najis itu belum dianggap suci, manakala air yang digunakan merendam dan mencelup itu pula berubah menjadi najis (mutanajjis).

    Selain itu, cara menyertu umpamanya pakaian yang terkena najis mughallazhah, setelah menghilangkan zat najis, dengan merendam atau mencelup ke dalam air keruh (yang telah bercampur tanah) yang tenang (tidak mengalir) dan banyak, iaitu lebih daripada dua qullah, maka memadailah dengan merendam dan menggerakkannya sebanyak tujuh kali.

    Atau air keruh (yang telah bercampur tanah) yang mengalir, maka memadailah dengan cara mengalirkan air padanya sebanyak tujuh kali. Kadar dua qullah ialah sukatannya lebih kurang 216 liter dan ukuran isi padu empat segi (60 x 60 x 60 sentimeter).

    Sebagai kesimpulan, terdapat perbezaan pada cara membersihkan atau menyucikan tempat atau bahagian yang terkena najis ‘aini dan hukmi, sama ada najis mukhaffafah, mutawassithah dan mughallazhah.

    Jika diyakini sesuatu terkena najis mughallazah anjing dan babi, cara untuk menyucikannya ialah dengan sertu, iaitu dibasuh dengan tujuh kali air mutlak salah satunya dengan air yang bercampur tanah.

    Manakala selain najis mughallazhah seperti kencing, tahi, darah, nanah dan selainnya, maka cara membersihkannya ialah dengan menjirus atau mengalirkan air ke atasnya.

    Namun hendaklah dihilangkan terlebih dahulu zat najis dan sifatnya, iaitu warna, bau dan rasa.

    Perlu diingat, bahawa dalam menggunakan air dan tanah ketika sertu, untuk membersihkan najis, hendaklah menggunakan air mutlak dan tanah yang bersih.

    Cara membersihkan atau menyucikan yang berbeza-beza ini adalah mengikut perbezaan jenis-jenis najis itu sendiri.

    Perbezaan ini hendaklah diperhatikan supaya tempat atau bahagian yang terkena najis benar-benar dapat dibersihkan atau disucikan dengan cara yang betul.

    Jika perkara ini tidak diambil perhatian, maka ia boleh menjejaskan ibadat yang disyaratkan suci daripada najis sebelum dan ketika dilaksanakan. Ini kerana cara menghilangkan najis yang tidak betul, umpamanya dengan menganggap ia sudah bersih kerana telah dibuang ‘ain (zat) najis walhal sifat-sifat najis masih lagi ada adalah tidak memadai.

    Walaupun ia sudah bersih tetapi belum lagi suci pada pandangan syarak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda