Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cara penggunaan baki wang derma dan sumbangan

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Kedua

    Firman Allah Ta‘ala dalam Al-Qur’an mengenai anjuran serta ganjaran bagi mereka yang menginfakkan (menyumbangkan, membelanjakan atau mengeluarkan sebahagian wang, harta dan sebagainya untuk kebajikan) secara ikhlas pada jalan Allah, demi mendapatkan ganjaran pahala atau pulangan yang lebih besar dan hebat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (dengan membelanjakan harta pada jalan Allah secara ikhlas), supaya Allah akan melipatgandakan baginya ganjaran yang berganda-ganda banyaknya? Dan Allah jualah yang menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya). Dan kepadaNya kamu semua dikembalikan. (Surah al-Baqarah: 245)

    Terdapat banyak hadits yang menceritakan kelebihan dan ganjaran daripada perbuatan bersedekah antaranya daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Seorang mukmin yang memberi makan saudara mukmin yang dalam kelaparan, Allah akan memberikannya makanan (mengenyangkannya) pada hari Kiamat daripada buah-buahan syurga. Dan seorang mukmin yang memberi minum saudara mukmin yang dalam kehausan, Allah akan memberikannya minum (menghilangkan kehausannya) pada hari Kiamat daripada sejenis minuman arak syurga. Dan seorang mukmin yang memberikan pakaian kepada saudara mukmin yang dalam keadaan telanjang (sama ada yang nampak auratnya ataupun keseluruhan anggotanya), Allah akan memberikannya pakaian berwarna hijau daripada pakaian syurga. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

    Anjuran ketika bersedekah

    Perkara yang afdhal dalam bersedekah ialah melakukannya secara sembunyi-sembunyi (tidak diketahui), bersedekah kepada kaum kerabat dan jiran tetangga, dan bersedekah pada bulan Ramadhan sebagaimana yang disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Bersedekah juga dituntut pada hari-hari yang mempunyai kelebihan (keistimewaan) dan dijanjikan ganjaran pahala yang besar seperti sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah dan pada dua Hari Raya. Demikian juga di tempat-tempat yang mulia seperti Makkah dan Madinah, pada waktu terjadi serangan, pada waktu haji, dan bilamana terjadi kejadian-kejadian penting seperti gerhana, sakit dan musafir.

    Menyentuh mengenai anjuran (afdhal) melakukan sedekah secara sembunyi-sembunyi, apabila perbuatan seorang yang bersedekah secara terang-terangan bakal menjadi contoh ikutan kepada yang lain, maka dalam keadaan seperti ini bersedekah secara terangan-terangan itu adalah afdhal berbanding bersedekah secara sembunyi, dengan syarat tidak menyebabkan riya’ dan kemegahan (sum‘ah).

    Selain itu, disunatkan membaca basmalah ketika menyerahkan atau memberi suatu sedekah kepada penerimanya. Ini kerana amalan bersedekah merupakan ibadat. Dari itu, disunatkan bagi mereka yang sangat menyukai amalan kebajikan, janganlah dia sunyi atau kosong daripada bersedekah walau satu hari pun, dan walaupun dengan perkara (sedekah) yang sedikit atau kecil.

    Pengelola Derma Adalah Pemegang Amanah

    Menyentuh mengenai wang derma yang dikutip berdasarkan inisiatif pihak tertentu, iaitu pengelola atau penganjur, daripada orang ramai atau kumpulan-kumpulan tertentu, pada kebiasaannya cara kutipannya dilakukan adalah dengan menugaskan individu tertentu (pengutip derma) untuk memberikan penjelasan mengenai tujuan kutipan dan perkara-perkara penting yang berkaitan dengannya. Kemudian pengutip derma tersebut akan menerima kutipan wang derma lalu menyerahkannya kepada seorang yang diamanahkan bagi tujuan pengumpulan dan penyimpanan hasil kutipan wang derma.

    Sebagai pengelola atau penganjur derma, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian dan dijaga oleh pihak pengelola. Setiap kutipan derma yang dibuat mesti mempunyai tujuan yang sekurang-kurangnya menerangkan kepada para penderma tentang kemanakah kutipan derma tersebut hendak disalurkan atau diagihkan.

    Pengelola derma juga merupakan seorang yang memegang amanah. Dalam menyalurkan atau mengagihkan sesuatu derma, pengelola derma sebagai pemegang amanah adalah wajib memelihara tujuan sesuatu derma itu dibuat yang merupakan niat para penderma.

    Oleh itu, setiap derma yang hendak digunakan atau dibelanjakan oleh pemegang amanah derma atau pihak penganjur, hendaklah mengikut niat orang yang menderma atau mengikut tujuan derma itu dilakukan. Sayyidina ‘Umar ibn al-Khattab Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Sesungguhnya (sahnya) amal perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap seseorang itu mendapat apa yang telah diniatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Sekiranya tujuan kutipan wang derma adalah dengan tujuan hendak mengadakan majlis tahlil dan doa arwah umpamanya, maka pengelola hanya akan membelanjakan wang kutipan derma itu bagi perkara yang berkenaan dengan majlis itu sahaja, tidak bagi perkara yang lain seperti membeli pinggan mangkuk dan sebagainya. Ini kerana apabila derma itu dihubungkan “atas nama majlis tahlil dan doa arwah”, bermakna pada adatnya ia akan hanya dipakai untuk membiayai makan minum dan yang berkaitan dengannya sahaja, bukanlah untuk perkara-perkara lain yang tidak ada kaitan dengan majlis itu.

    Dari itu, adalah haram hukumnya mereka (pengelola) menyalurkan atau mengagihkan derma yang mereka kelolakan ke arah satu tujuan yang berlainan dengan tujuan asal sesuatu derma itu dibuat tanpa mendapat izin dari kesemua para penderma yang menghulurkan derma tersebut, kerana perbuatan sedemikian dikira mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka.

    Pengelola yang memegang amanah juga menerima ganjaran pahala yang setimpal. Daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Sesungguhnya seorang penyimpan harta yang muslim lagi amanah yang melaksanakan – dan kemungkinan juga Baginda bersabda: yang memberikan – apa yang diperintahkan kepadanya, maka dia (penyimpan harta) itu melaksanakan dengan sempurna lagi cukup dengan senang hati dan seterusnya menyerahkannya kepada orang yang diperintahkan untuk diberi, (maka) dia (penyimpan harta) itu adalah termasuk juga salah seorang daripada dua orang yang bersedekah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Duit Derma Yang Berbaki

    Adakalanya setelah wang derma yang dikutip itu diagih-agihkan kepada penerima atau dibelanjakan bagi sesuatu majlis, wang derma tersebut masih berbaki atau mempunyai lebihan. Untuk menanganinya, pengelola perlu merangka cara penyelesaian yang terbaik dan yang pasti ia hendaklah menepati kehendak syara‘.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda