Oleh Mu’min Karim
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Asia Asset Management dengan sokongan Institut Ke-pimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) telah menganjurkan perbincangan Meja Bulat Brunei Darussalam Tahunan ke-14 dengan tema Melangkah ke Hadapan: Pemacu Ekonomi Baharu yang diadakan secara hibrid di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Acara yang diadakan selama satu hari itu menghimpunkan penceramah dari pelbagai latar belakang untuk berbincang dan mengenal pasti beberapa pemacu utama Ekonomi Baharu, implikasi dan kesannya terhadap sektor kewangan, alam sekitar, perdagangan dan pelaburan.
Topik-topik tersebut juga telah dibincangkan dalam konteks pandemik COVID dan cara pasaran serta ekonomi pada masa ini muncul daripada tempoh ini serta jangkaan bagi tahun 2023.
Acara itu juga membincangkan cara sektor kewangan berkembang, terutama dengan kemunculan pendigitalan dan kesan kepada pengguna serta pelabur. Selain itu, teknologi baharu yang telah mendapat daya tarikan seperti kecerdasan buatan (AI) juga telah dibincangkan.

Perbincangan juga menyentuh isu-isu berkaitan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kemampanan, termasuk prestasi terkini semasa wabak pada masa dunia sedang bergelut dengan pelbagai cabaran berkaitan perubahan iklim dan persekitaran.
Topik yang dibentangkan termasuk Navigating the Changing Regulatory Landscape in the Current Environment, Five Fixed Income Themes in 2023, Sustainability of Pensions and Investments: A Health Check, The Protein Challenge for ASEAN: A Climate Friendly Agro Industry dan Embracing Artificial Intelligence of Investments.
Pengarah Eksekutif, Pejabat Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Dayangku Sri Joedianna binti Pengiran Haji Mohammed semasa menyampaikan kertas kerja bertajuk Navigating the Changing Regulatory Landscape in the Current Environment antara lain mengongsikan perkembangan BDCB yang mana pada tahun 2016, BDCB menerbitkan Rangka Tindakan Sektor Kewangan yang merangkumi visi sektor kewangan untuk tempoh 10 tahun iaitu dari 2016 hingga 2025 yang menyumbang 8 peratus kepada KDNK menjelang Wawasan Brunei 2035.
Beliau seterusnya menjelaskan mengenai tiang teras BDCB bagi menentukan hala tuju pengawal atur, di mana BDCB berharap untuk menaik taraf peraturan mengikut standard luar negara dan menguatkan perlindungan pelanggan.
Manakala motivasi atau aspirasi untuk menetapkan matlamat yang dilihat di bawah matlamat kestabilan kewangan adalah kerana beberapa jurang yang telah dilihat dalam pasaran kewangan Brunei, dan keperluan untuk mengukuhkan daya tahan sektor kewangan, meningkatkan perlindungan pengguna dan jaringan keselamatan serta untuk mengukuhkan integriti kewangan Brunei.
Dalam rangka tindakan itu, jelasnya, BDCB akan terus memantau amalan antarabangsa dalam penggunaan dasar macroprudential, yang mana ini akan mempengaruhi kadar pengembangan dalam sektor kewangan yang dianggap perlu untuk mengekalkan kestabilan makro kewangan dan monetari.