Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cara tukar tayar kereta yang pancit

    Ketika sedang memandu kereta di jalan raya, kita semestinya perlu berhati-hati dan ambil langkah pencegahan sebaik mungkin bagi mengelakkan perkara yang tak diingini daripada terjadi semasa dalam perjalanan menuju ke destinasi.

    Salah satu langkah pencegahan penting yang ramai orang ambil mudah adalah memeriksa tayar sebelum memulakan perjalanan. Seperti yang ramai ketahui, tayar adalah merupakan salah satu komponen penting pada kenderaan.

    Tanpa tayar, kenderaan tidak boleh bergerak. Jadi, dengan memastikan tayar dalam keadaan baik bukan sahaja dapat mengelakkan diri dari terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa, ia juga turut boleh memastikan perjalanan awda itu lancar.

    Ini kerana, jika tayar tidak berada dalam keadaan baik, ia berpotensi untuk bocor. Sudah tentu ia akan melambatkan perjalanan awda ke destinasi yang hendak dituju. Namun sekiranya ketika dalam perjalanan dan tayar awda bocor atau pancit, awda perlu tahu apa yang perlu dilakukan.

    Proses untuk menggantikan atau menukar tayar ini agak mudah jika awda tahu caranya.

    Jek kereta berfungsi untuk mengangkat beban kereta ketika proses penukaran tayar dilakukan. – Agensi
    Lug wrench adalah penting untuk menanggalkan nat tayar kereta awda. – Agensi
    Perkara paling penting ketika menukar tayar kereta adalah dengan melakukannya di tempat yang selamat. – Agensi

    Namun pada yang tidak tahu cara untuk menukar tayar, artikel daripada laman web BJAK ini untuk awda. Baca dengan lebih lanjut berkenaan cara untuk menukar tayar kenderaan awda dengan mudah.

    PERALATAN YANG PERLU ADA

    Sebelum kita mengetahui cara yang betul dan mudah untuk menukar tayar, kita perlu tahu terlebih dahulu peralatan yang perlu ada untuk digunakan bagi menukar tayar kereta.

    Pertama, kita perlu menyediakan jek kereta. Kebanyakan kereta yang ada di jalan raya didatangkan sekali dengan peralatan ini di bahagian bonet belakang kereta. Jek kereta ini adalah peralatan penting yang perlu ada untuk menukar tayar. Ia berfungsi untuk mengangkat beban kereta ketika proses penukaran tayar dilakukan.

    Kedua, lug wrench. Peralatan ini juga amat penting. Ini kerana, jika tiada alat ini, tayar awda akan menjadi sukar untuk ditanggalkan. Fungsi alat ini adalah untuk menanggalkan nat tayar kereta awda.

    Ketiga, tayar ganti. Tayar ganti ini juga merupakan komponen penting. Manakan tidak, jika tayar ganti ini tiada, maka proses penukaran tayar awda akan menemui jalan buntu. Perlu diingat bahawa tayar ganti ini perlu digunakan secara sementara. Ini kerana saiznya kebiasaannya lebih kecil berbanding tayar biasa. Justeru, untuk menggunakan dalam jangka masa yang lama adalah tidak digalakkan. Tayar ini kebiasaannya boleh didapati di bahagian bonet belakang kereta.

    Keempat, kunci nat tayar. Jika awda menggunakan rim sport, awda perlu memastikan bahawa kunci kepada nat tayar rim sport awda itu sentiasa ada di dalam kereta awda. Ini kerana, jika tayar awda perlu ditukar, kunci nat tayar inilah yang akan berfungsi untuk menanggalkan tayar kereta awda. Perlu diingat bahawa kunci nat yang biasa tidak boleh digunakan untuk menanggalkan tayar awda kerana saiznya berbeza.

    CARA YANG BETUL

    Perkara pertama dan paling penting sekali untuk menukar tayar kenderaan awda adalah dengan mencari dan memberhentikan kereta awda di tempat yang selamat. Ini kerana, jika awda berhenti di tempat yang tidak sepatutnya, potensi berlakunya kemalangan itu agak tinggi. Ia secara tidak langsung boleh membahayakan nyawa awda dan orang lain. Semasa berhenti, jangan lupa untuk menarik brek tangan dan pastikan gear berada di kedudukan P (Parking). Jangan berhenti di tempat yang gelap dan sunyi, sebaliknya carilah tempat yang ramai orang boleh nampak.

    Setelah berhenti di tempat yang selamat, bawa keluar segala peralatan yang perlu untuk terus menukar tayar kereta awda. Selain peralatan yang telah disenaraikan di atas, awda juga digalakkan untuk menggunakan sarung tangan, lampu suluh dan reflective vest semasa hendak menukar tayar awda.

    Seterusnya, cari permukaan yang rata dan naikkan kereta awda ke atas jek. Tetapi sebelum awda menaikkan kereta awda ke atas jek, pastikan brek tangan kereta awda sudah ditarik. Ketika menggunakan jek, pastikan kereta awda tidak dinaikkan terlalu tinggi di atas jek. Naikkan sehingga tayar kereta awda sudah boleh dipusingkan. Tidak perlu tinggi-tinggi.

    Setelah kereta awda berjaya dinaikkan di atas jek, awda sudah boleh mula cabut nat tayar kereta awda menggunakan lug wrench. Jika awda memakai tayar rim sport, awda boleh gunakan kunci nat tayar rim sport awda itu untuk menanggalkan tayar yang bocor tersebut. Pusingkan nat tayar melawan arah jam sehingga longgar dan tanggalkan tayar awda.

    Akhir sekali, turunkan jek kereta awda dan pastikan kereta awda sudah stabil. Selepas itu, gunakan lug wrench untuk mengetatkan semula nat tayar kereta awda dan awda sudah boleh meneruskan perjalanan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda