CROCE D’AUNE, 2 JUN – Richard Carapaz semakin menghampiri kejayaan Giro d’Italia pertamanya selepas mengekalkan jersi pendahulu merah jambu pada peringkat ke-20, yang menyaksikan Miguel Angel Lopez memukul seorang penonton yang menjatuhkannya.
Carapaz dari Colombia tidak memberikan ruang kepada para pesaingnya di Monte Avena selepas tunggangan sejauh 193km melalui pergunungan Dolomites, di mana penunggang Astana, Pello Bilbao meraih kemenangan pada peringkat itu.
Penunggang Movistar, Carapaz, yang mana kemenangan Giro akan menjadi kemenangan Grand Tour pertamanya, bahkan sempat membantu rakan sepasukan Mikel Landa pada pendakian terakhir sebelum tewas kepada rakan senegaranya, Bilbao.
Landa menamatkan perlumbaan di tempat kedua, dengan Carapaz di tempat keempat.
Penunggang Amerika Selatan itu mendahului pemenang dua kali, Nibali dari Itali dengan masa 1 minit dan 54 saat dalam kedudukan keseluruhan, pendahuluan yang tidak pernah dipintas dalam peringkat uji masa terakhir.
Landa melonjak ke tempat ketiga dengan 2 minit dan 53 saat, mengatasi Primoz Roglic, yang ketinggalan 3 minit dan 6 saat.
“Saya sudah memikirkan esok, 1 minit dan 54 saat adalah jurang yang kami pertahankan,” kata Carapaz menjelang perlumbaan terakhir, yang berakhir di amfiteater Roman, Verona.
“Saya fikir ia seharusnya cukup, namun apa-apa pun boleh terjadi dalam satu perlumbaan. Satu-satunya perkara yang saya harap esok adalah menikmati hari dengan sepenuhnya. – AFP
