Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Carapaz tidak akan sertai Vuelta Sepanyol

    MADRID, 20 OGOS – Bekas juara Olimpik, Richard Carapaz, yang menarik diri daripada Tour de France akibat jangkitan perut, dilaporkan tidak cukup cergas untuk berlumba di Vuelta Sepanyol, menurut kenyataan pasukannya kelmarin.

    Pemenang dari Ecuador itu menghadapi pemulihan yang sukar dan tidak bersedia untuk Vuelta yang akan bermula pada Sabtu ini.

    “Saya tidak dapat berlatih lebih daripada dua atau tiga hari berturut-turut,” kata Carapaz dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan EF Education.

    Carapaz berkata dia kini sedang berlatih di Ecuador dan akan menumpukan perhatian kepada perlumbaan klasik satu hari lewat musim serta Kejohanan Dunia pada September.

    “Saya hampir pulih sepenuhnya sekarang,” katanya. “Matlamat seterusnya yang telah kami tetapkan ialah perlumbaan klasik Itali, terutamanya Il Lombardia, serta Kejohanan Dunia di Rwanda.”

    Carapaz, bekas juara Giro Itali, musim panas lalu menjadi orang Ecuador pertama memakai jersi peneraju kuning di Tour de France, walaupun hanya memimpin selama sehari. Namun, dia tidak dipilih oleh negaranya untuk mempertahankan gelaran Olimpik di Paris.

    “Ini adalah Kejohanan Dunia yang sangat istimewa,” tulisnya. “Itulah sebabnya saya datang ke Ecuador, untuk melakukan latihan di altitud tinggi, mendapatkan semula motivasi dan fokus 100 peratus. Beberapa faktor menyebelahi kami dan kami ingin memanfaatkannya sepenuhnya.”

    Carapaz menamatkan tempat ketiga di Giro pada bulan Jun dan, menurut pasukannya, dia menunjukkan angka kuasa latihan yang lebih baik daripada sebelumnya sebelum diserang penyakit. – AFP

    Richard Carapaz menunggang basikal di pendakian Colle Delle Finestre semasa peringkat ke-20 perlumbaan basikal Giro d’Italia ke-108, sejauh 205 km dari Verres ke Sestriere pada 31 Mei 2025. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda