Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Cardi B, dibebaskan daripada tuduhan serangan dalam perbicaraan sivil berjumlah AS$24 juta selepas juri di Los Angeles menolak dakwaan seorang wanita menuduh artis itu mencederakannya pada 2018.
Plaintif, Emani Ellis mendakwa Cardi B mengelar wajahnya dengan kuku panjang selain mengeluarkan kata-kata kesat serta meludah ke arahnya ketika penyanyi itu hamil empat bulan dan dalam perjalanan ke pusat perubatan di Beverly Hills.
Namun, mahkamah diberitahu insiden itu berpunca daripada tindakan Ellis yang cuba merakam penyanyi lagu Bodak Yellow tersebut menggunakan telefon bimbit, sekali gus mencetuskan pertengkaran mulut sebelum kakitangan klinik campur tangan.
Juri akhirnya menolak tuntutan ganti rugi berkenaan, dengan Cardi B atau nama sebenarnya Belcalis Marlenis Almanzar menegaskan dia tidak pernah menyentuh Ellis.
“Saya boleh bersumpah sehingga ke akhir hayat saya tidak menyentuh wanita itu,” katanya kepada media selepas keputusan diumumkan.
Penyanyi berusia 32 tahun itu turut memberi amaran akan mengambil tindakan balas undang-undang terhadap sebarang tuntutan tidak berasas pada masa depan. – AFP


