Penyanyi Datuk Amy Search tidak menolak pandangan segelintir pihak yang menganggap setiap artis memerlukan lagu hit atau killer song dalam kerjaya nyanyian mereka.
Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, 67, bagaimanapun berkata keberkesanan killer song itu bergantung kepada permintaan pendengar bagi menentukan populariti lagu tersebut.
Justeru itu, Amy menasihatkan penyanyi baharu untuk mengenal pasti genre yang sesuai dengan mereka.
“Killer song ini adalah satu perkara yang subjektif. Ada kalanya kita tahu lagu itu boleh ‘pergi’, adakalanya kita tak tahu.
“Kadang-kadang lagu itu boleh jadi ‘boom’ tapi tiba-tiba lagu kemudiannya dalam keadaan bahaya.
“Penyanyi perlukan killer song sebab sebenarnya sesebuah lagu popular itu yang akan mengetengahkan lagi bakat awda, terutamanya penyanyi baharu,” katanya kepada mStar.
Amy berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Amy Search Magic Konsert Solo Pertama yang diadakan di Society, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Amy turut mengingatkan kepada rakan artis mengenai kepentingan mencari genre lagu yang tepat.
Tambahnya, setiap killer song yang dihasilkan juga bakal memberi tekanan kepada penyanyi untuk terus menghasilkan karya yang diingati peminat.
“Daripada situ juga dapat membantu penyanyi explore apakah genre yang sesuai dengan mereka.
“Penyanyi perlu pandai bereksperimentasi tetapi bila lagu pertama dah hit, akan timbulkan satu tekanan buat penyanyi untuk hasilkan lagu kedua.
“Jadi mereka kena tahu material yang sesuai dengan karya mereka untuk hasilkan lagu.
Kena banyak mendengar dan buat research sampai jumpa genre utama. Jangan terlalu ikut apa orang cakap,” ujarnya. – Agensi