Tuesday, January 7, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cari input di negara jiran

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Lima orang ahli Kumpulan Penyelidik Indeks Maqasid Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah berlepas ke Malaysia hari ini, bagi melaksanakan beberapa siri mesyuarat dan lawatan penanda aras penyelidikan bermula hari ini hingga 20 Ogos di beberapa buah agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi negara tersebut.

    Rombongan kumpulan penyelidik termasuk Pengarah Pusat Ilmu Teras Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar merangkap Ketua Kumpulan Penyelidik Indeks Maqasid Syariah; Profesor Adjung Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; Profesor Madya Dr Muhd Zahiri bin Awang Mat dari Fakulti Pendidikan KUPU SB; Profesor Madya Dr Mohd Shahril bin Ahmad Razimi dari Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan, KUPU SB; dan Pegawai Penyelidik Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, KUPU SB, Awang Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa selaku setiausaha kumpulan penyelidik berkenaan.

    Dr Haji Noralizam ketika ditemui menyampaikan harapan agar mesyuarat dan lawatan yang akan dilaksanakan tersebut dapat mencapai objektif utamanya iaitu mendapatkan input, maklum balas mahupun kongsi sama pengalaman yang relevan daripada rakan-rakan strategik luar negara yang berkepentingan dan berautoriti.

    Ia adalah sebagai keperluan pembinaan Indeks Maqasid Syariah dalam Pengurusan dan Pentadbiran Awam Negara Brunei Darussalam melalui pelaksanaan penyelidikan yang lebih bersepadu, telus dan berinovasi serta berimpak tinggi ke arah menjayakan Rancangan Strategik KHEU 2020-2024 khususnya bagi Projek Strategik Pengukuhan Maqasid Syariah Dalam Pengurusan dan Pentadbiran Awam Negara Brunei Darussalam.

    Antara agensi dan institusi yang akan dikunjungi oleh kumpulan penyelidik berkenaan termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Maqasid Malaysia.

    Antara objektifnya adalah sebagai usaha signifikan dalam merealisasikan Rancangan Strategik KHEU 2020-2024 khususnya bagi Projek Strategik Pengukuhan Maqasid Syariah Dalam Pengurusan dan Pentadbiran Awam Negara Brunei Darussalam, serta memperkemas dan memperkukuhkan draf Kertas Dasar Penyelidikan Pembinaan Indeks Maqasid Syariah dalam Pengurusan dan Pentadbiran Awam Negara Brunei Darussalam yang merupakan penyelidikan yang julung-julung kalinya pernah dilaksanakan di negara ini.

    Di samping itu, ia juga merupakan peluang bagi perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan, perlaksanaan, penyelidikan dan penilaian yang berkaitan dengan Indeks Maqasid Syariah yang lebih bersistematik menerusi perundingan, konsultasi, pertukaran maklumat, teknik dan kepakaran daripada Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD).

    Rombongan bergambar ramai sebelum berlepas ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda