Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cari kaedah inovatif tangani krisis iklim

    Oleh Mu’min Karim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan APEC Brunei Darussalam petang tadi menganjurkan Forum Ekonomi Mampan yang melihat cara-cara ekonomi Brunei dapat berkembang dan beralih kepada tenaga hijau bertempat di Kampus Royal Brunei (RB).

    Hadir selaku tetamu kehormat pada forum itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Semasa menyampaikan ucapannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf berkata, “Melangkah ke hadapan dengan ikrar negara di bawah Perjanjian Paris untuk mengurangkan pelepasan sebanyak 20 peratus menjelang 2030, adalah penting bagi kita untuk terus mempertimbangkan alam sekitar dalam segala-galanya aktiviti yang dilakukan.

    “Ini termasuk memelihara hutan, peralihan kepada tenaga rendah karbon, penggunaan teknologi hijau dan peralihan kepada tenaga hijau atau alternatif dalam pelbagai sektor ekonomi seperti pertanian, tenaga, perhutanan dan sebagainya,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Forum pada kali ini merupakan kerjasama antara Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan APEC Brunei Darussalam dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Bank Baiduri serta AIA Brunei.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bersama para tetamu pada forum yang berlangsung di Kampus RB. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Forum berkenaan menyaksikan beberapa tokoh alam sekitar terdiri daripada Duta Serantau UK bagi COP26, Ken O’Flaherty; Ketua Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Awang Ahmad Zaiemaddien bin Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Manuel Bulens mengongsikan cara-cara sektor awam dan swasta boleh bekerjasama untuk mencapai komitmen berkenaan serta sebagai memahami peluang perniagaan dalam ekonomi hijau.

    Sementara itu, Ken O’Flaherty semasa forum menyentuh mengenai trend utama di rantau ini dan persediaan untuk COP27. Beliau berkata, “Adalah penting bahawa semua negara, besar dan kecil untuk memahami dan menangani perubahan iklim.

    “Saya berharap dapat bekerjasama dengan Brunei dan rantau yang lebih luas dalam mencari penyelesaian inovatif kepada krisis iklim kita,” jelas Ken O’Flaherty.

    Beliau turut mengongsikan bahawa United Kingdom (UK) merupakan negara pertama yang memperkenalkan Akta Perubahan Iklim 2007 yang berperanan sebagai Jawatankuasa Perubahan Iklim bebas yang menilai dasar-dasar kerajaan.

    Selain itu UK turut menetapkan sasaran iklim jangka panjang, seperti belanjawan karbon untuk tempoh lima tahun, yang memberikan kepastian terhadap hala tuju dasar dan memerlukan penilaian risiko perubahan iklim dilengkapkan setiap lima tahun, untuk mengenal pasti risiko daripada kesan iklim dan tindakan yang akan diambil untuk bertindak balas terhadap perkara berkenaan.

    “UK telah menyaksikan pelepasan jatuh sebanyak 43 peratus sejak 1990 manakala keluaran dalam negara kasar telah berkembang hampir 75 peratus. Ia menjadi bukti bahawa decoupling bukan sekadar hipotesis,” tegas beliau.

    Dalam ucapan alu-aluannya Pe-ngerusi, Majlis Penasihat Perniagaan APEC Brunei dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat LVK, Dayang Hafimi Abdul Haadii, berkata, “Keperluan untuk kerjasama ekonomi di rantau ini adalah lebih penting selepas pulih daripada endemik COVID untuk membina semula ekonomi yang lebih mampan dan kukuh.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda