Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cari pasukan penyelamat hilang

    HANOI, 14 OKT – Operasi telah dilancarkan untuk mencari pasukan penyelamat yang hilang ketika banjir teruk dan tanah runtuh membadai tengah Vietnam, kata pihak berkuasa hari ini, semasa negara itu masih berdepan hujan lebat.

    Hampir satu juta orang telah terjejas dengan hujan lebat dan air meningkat sejak pertengahan minggu lalu, dengan lebih 200,000 rumah dibanjiri, menurut Persekutuan Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC).

    Kini seramai 36 orang disahkan maut, kata penguat kuasa pengurusan bencana Vietnam, sementara pekerja penyelamat telah melancarkan pencarian ke atas kira-kira 30 orang yang hilang di loji tenaga hidro di wilayah Thua Thien Hue berikutan tanah runtuh.

    Mangsa hilang termasuk pasukan tentera dan para pegawai yang cuba untuk mencari pekerja loji yang hilang beberapa hari yang lalu.

    Imej-imej dalam media kerajaan menunjukkan helikopter dan ratusan tentera bergelut untuk mengakses tapak yang dipenuhi lumpur tebal dan pokok tumbang.

    Di tempat lain di seluruh rantau tengah, kampung-kampung dan sawah bendang telah ditenggelami air dengan pekerja bantuan menggunakan bot buatan sendiri dan kanu untuk menghantar makanan dan minuman kepada mangsa yang tersekat di rumah-rumah yang dibanjiri.

    Utara tengah Vietnam juga dilanda cuaca buruk hari ini ketika Ribut Nangka membuat pendaratan.

    Peramal kaji cuaca berkata ia akan membawa hujan beberapa hari akan datang sambil memberi amaran ribut lain dijangka akan membentuk dan memberi impak pada minggu ini.

    IFRC berkata ia ‘begitu bimbang’ yang banjir maut itu akan bertambah buruk lagi ketika hujan berlaku di kawasan komuniti yang terjejas teruk. – AFP

    Kakitangan mencari dan menyelamat Vietnam menyeberangi tasik projek hidroelektrik Huong Dien di Daerah Huong Khe semasa operasi pada 14 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda