Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cari rezeki di sebalik sisa plastik

    Gambar AFP

    HEZREH, SYRIA – Di sebuah tempat pembuangan sampah di barat laut Syria, Mohammed Behlal mengumpul plastik untuk dijual kepada pengitar semula dan diubah menjadi tikar lantai dan barang-barang lain di kawasan pemberontak yang miskin.

    Di Syria yang dikuasai pemberontak, aktiviti kitar semula jarang sekali menjadi dorongan menjaga alam sekitar sebaliknya menjadi talian hayat yang suram bagi penduduk yang memerlukan pekerjaan atau barangan yang mereka tidak mampu beli.

    Walaupun terpaksa mengharungi bau busuk, serangga dan risiko penyakit, Behlal yang berusia 39 tahun menggali timbunan sampah dengan menggunakan tangan dan sabitnya.

    Dia dan dua daripada enam anaknya mencari rezeki dengan menyaring sampah di kawasan kampung Hezreh, wilayah Idlib, masing-masing memperoleh AS$7 hingga AS$10 seminggu.

    “Sangat memenatkan, tetapi apa yang boleh kita lakukan, kita terpaksa bersabar dengan kerja keras ini,” kata Behlal, yang terusir dari wilayah jiran Aleppo semasa perang saudara Syria.

    Pekerja mencuci plastik yang dikumpulkan dari tapak pelupusan selepas dihancurkan menjadi kepingan kecil sebelum dikitar semula.
    Pekerja menimbun tikar yang diperbuat daripada plastik kitar semula, di sebuah kilang di Sarmada, wilayah Idlib, barat laut Syria.
    Pekerja memasukkan sisa plastik yang telah dihancurkan ke dalam mesin, untuk dicairkan menjadi palet.
    Behlal menyaring sampah bagi mencari barangan plastik untuk dijual.
    Gambar fail bertarikh 1 Jun menunjukkan pekerja di sebuah kilang membuat tikar dan permaidani daripada plastik kitar semula, di Sarmada di wilayah Idlib barat laut Syria.

    “Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kita ada kerja dengan sampah ini,” tambahnya.

    Behlal ditembak di kaki semasa pertempuran yang menyebabkannya menghadapi kesulitan mencari pekerjaan.

    Dia membongkok untuk mengumpul kepingan plastik atau logam, lalu memasukkannya ke dalam beg untuk dijual kepada sebuah kilang kitar semula yang berdekatan.

    Konflik Syria telah mengorbankan lebih daripada 500,000 nyawa, dan kira-kira separuh daripada jumlah penduduk sebelum perang terpaksa meninggalkan rumah mereka sejak pergolakan meletus pada 2011.

    Lebih empat juta orang, kebanyakannya bergantung kepada bantuan, tinggal di kawasan yang dikawal oleh pejuang jihad dan kumpulan yang disokong Turkiye di utara dan barat laut Syria.

    Di kawasan simpanan sekerap yang besar bersebelahan ladang pertanian, pekerja menyusun sisa plastik secara kurang teratur ke dalam longgokan mengikut warna.

    Mereka kemudian memotongnya dan menghancurkannya menjadi kepingan kecil yang dicuci dan dicairkan menjadi palet plastik.

    Benang plastik

    Farhan Sleiman, 29, antara yang mengendalikan bahan yang dibawa masuk dari tapak pelupusan sampah.

    “Kami membeli plastik daripada trak pemungut sampah dan kanak-kanak yang berkeliaran,” kata Sleiman, yang berasal dari wilayah Homs.

    Dia melahirkan kebimbangan terhadap risiko dijangkiti ‘kolera atau penyakit kronik’ daripada bekerja dengan sampah.

    Di tempat lain di wilayah Idlib utara, pekerja di sebuah kilang membuat tikar dan permaidani menghasilkan benang plastik berwarna terang sementara mesin tenunan besar mengeluarkan bunyi klik dan klak.

    Pemilik kilang, Khaled Rashu, 34, berkata pembuatan permaidani merupakan tradisi keluarga.

    “Kami mempunyai lebih daripada 30 pekerja di kilang itu,” katanya dengan penuh bangga sebagai satu pencapaian penting di rantau di mana ramai yang menganggur.

    Tikar besar yang menampilkan reka bentuk geometri, sesetengahnya dibuat dengan benang plastik merah atau ungu yang menarik, keluar dari mesin tenun dan disusun menjadi timbunan.

    Pemilik kedai, Mohammed al-Qassem, 30, adalah antara mereka yang menjual tikar itu, yang menurutnya menjadi pilihan di kawasan di mana ramai orang kehilangan tempat tinggal dan tinggal di khemah asas atau kediaman sementara.

    Tikar yang diperbuat daripada plastik kitar semula berharga antara AS$5 dan AS$15, manakala permaidani tradisional gaya Parsi adalah sekitar AS$100.

    “Pada musim panas, permintaan untuk tikar plastik meningkat kerana ia kurang mengekalkan haba,” kata Qassem dari kedainya di Maaret Masrin, sebuah bandar di wilayah Idlib.

    “Tetapi ia juga boleh digunakan pada musim sejuk dan lebih murah,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda