Wednesday, February 12, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cari rezeki jual batu nisan sungai

    GUA MUSANG – Percubaan Mohd Azhar Mat Arifin membuat batu nisan menggunakan batu sungai sejak tiga tahun lepas, nyata membuahkan hasil apabila tempahan yang diterimanya semakin meningkat.

    Anak jati Felda Chiku 2, Gua Musang, Kelantan, berusia 32 tahun itu berkata beliau mencari sendiri batu sungai di beberapa kawasan sekitar Gua Musang, Kuala Krai serta Jerteh dan Besut di Terengganu.

    “Tempahan batu nisan menggunakan batu sungai mendapat permintaan yang banyak daripada pelanggan berbanding batu nisan jenis biasa yang diperbuat daripada simen.

    “Harga bagi batu nisan batu sungai antara RM350 hingga RM450 sepasang bergantung kepada saiz batu dan jenis ukiran nama,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Chiku 2, baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, Mohd Azhar yang juga pengusaha tunggal batu nisan jenis itu di daerah ini berkata beliau menerima tempahan kira-kira 40 pasang sebulan dan permintaan akan meningkat sehingga 60 pasang menjelang musim perayaan.

    Mohd Azhar (kanan) dibantu abang iparnya, Mohd Shahidin Noh, 44, meletakkan acuan untuk dimasukkan simen, antara proses menyiapkan belindan kubur di Felda Chiku 2, di sini. – Gambar Bernama
    Pengusaha nisan batu sungai Mohd Azhar Mat Arifin, 32, mengecat nisan batu sungai sebelum menjemurnya di bawah panas terik matahari di Felda Chiku 2, Kelantan. – Gambar Bernama
    Mohd Azhar bersama batu-batu sungai yang akan dijadikan nisan untuk tempahan orang ramai. – Gambar Bernama

    “Ketika ini permintaan diterima daripada pelanggan sekitar Gua Musang, Kuala Krai dan Machang,” katanya yang dibantu abang ipar dan anak saudaranya.

    Menurut Mohd Azhar kebiasaannya set lengkap kubur berupa batu nisan dan belindan memakan masa sehingga tiga hari untuk proses pengeringan, namun cuaca panas terik ketika ini membolehkan proses itu berjalan dalam masa hanya sehari.

    Katanya, susulan cuaca panas itu, mereka boleh menyiapkan tujuh set sehari berbanding tiga set sebelum ini.

    Selain batu nisan diperbuat daripada batu sungai tempatan, Mohd Azhar turut menghasilkan batu nisan menggunakan batu sungai yang diimport dari Pakistan.

    “Bagi batu nisan import pula dijual dengan harga RM800 sepasang, manakala untuk satu set lengkap terdiri daripada belindan dan sepasang batu nisan adalah antara RM350 hingga RM1,200,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda