KOTA KINABALU, 5 April – Fokus operasi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa banjir lumpur di ladang kelapa Sawit Sen Fu Sdn Bhd, Tongod di daerah Kinabatangan, yang masih hilang hari ini ditumpukan di kawasan sekitar Sungai Pinangah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Kahirul Azzuwan Ibrahim berkata sehubungan itu operasi SAR di Sungai Labou ditamatkan kira-kira 10 pagi tadi.
Beliau berkata tumpuan ke kawasan Sungai Pinangah, daerah Telupid, itu dibuat berdasarkan maklumat keluarga mangsa yang terselamat mengatakan mangsa yang hilang itu dilihat hanyut dibawa arus ketika kejadian. Khairul Azzuwan dalam kenyataannya hari ini berkata operasi yang memasuki hari kelima itu melibatkan 17 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), lapan anggota Pasukan Multi-Skill Team (MUST), 10 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Sandakan dan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau.
Turut terlibat dalam pencarian tiga lagi mangsa tragedi banjir lumpur yang berlaku pada 1 April lalu itu ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia. Semalam, lima daripada lapan mangsa banjir lumpur berkenaan ditemukan pasukan SAR sebelum operasi semalam ditangguhkan pada 6 petang dan kesemua mayat dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk pengecaman dan bedah siasat. – Bernama