(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI I
SETIAP individu memerlukan nafkah hidup bagi menyambung kehidupan seharian. Mencari nafkah adalah dituntut oleh Islam agar kita dapat meneruskan ibadat kepada Allah SWT.
Untuk mendapatkan nafkah yang halal hendaklah dengan pekerjaan yang dihalalkan atau diharuskan. Berusaha mencari yang halal itu merupakan suatu yang diwajibkan oleh syara‘ sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis Rasullullah SAW yang maksudnya, “Mencari yang halal adalah wajib atas setiap muslim.” (Hadis riwayat ad-Dailami)
Terdapat banyak ayat Al-Qur’an yang memerintahkan manusia supaya memakan rezeki yang halal dan baik, antaranya, Allah Ta‘ala telah berfirman yang tafsirnya:
“Wahai manusia! Makanlah sebahagian dari makanan yang ada di bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu turuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.” (Surah al-Baqarah: 168)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Dan makanlah dari rezeki yang diberi Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman.” (Surah al-Ma’idah: 88)
Dengan memakan yang halal itu akan menambahkan cahaya pada hati serta melembutkannya. Selain itu, ia akan menimbulkan kegentaran dan kekhusyukan terhadap kebesaran Allah SWT , mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan melakukan ketaatan, mengurangkan kecenderungan hati kepada dunia dan menambah ingatan terhadap hari akhirat.
Semua sifat-sifat tersebut akan menjadi sebab utama diterima amal soleh dan terkabulnya doa. Rasulullah SAW pernah berkata kepada Sa‘ad bin Abi Waqqash Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:
“Pilihlah makanan yang halal, nescaya doamu dikabulkan.”
Zaman sekarang tidak dinafikan manusia berlumba-lumba mencari rezeki untuk menampung kehidupan. Pelbagai usaha diatur untuk mendapatkannya, malah sebilangan orang ada yang berani melampaui batas-batas syara‘ dalam mencari rezeki daripada pekerjaan yang haram seperti mencuri, menipu, mengamalkan rasuah, memakan riba dan berjudi.
Risiko orang yang memakan harta yang diperolehi dengan cara yang haram telah diberi peringatan oleh Rasullullah SAW sepertimana disebutkan dalam beberapa hadis Baginda, antaranya Baginda bersabda yang maksudnya, “Tidak akan memasuki syurga daging yang tumbuh daripada yang haram.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Sabda Baginda lagi yang maksudnya, “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih utama menerimanya.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)
Sabda Baginda lagi yang maksudnya, “Barangsiapa yang mengumpul harta daripada jalan yang tidak halal, kelak apabila dia bersedekah dengan harta tersebut tidak akan diterima sedekahnya, dan jika dia membelanjakannya tidak akan diberkati perbelanjaannya dan jika ditinggalkannya sebagai harta pusaka, akan menjadilah harta itu sebagai kayu api yang kekal membakarnya di dalam neraka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Ibnu al-Mubarak Rahimahullahu Ta‘ala berkata: “Menolak satu dirham yang ada syubhah adalah lebih dicintai Allah SWT daripada bersedekah dengan 100 ribu dirham, kemudian ditambah lagi dengan 100 ribu yang lain hingga ia kira 600 ribu dirham.”
Sebab-sebab dimurahkan rezeki
Ada di antara kita yang merasa gelisah kerana tidak mendapat rezeki yang mencukupi untuk keperluan hidup walhal dia telah berusaha dengan bersungguh-sungguh.
Perlulah diingat bahawa Allah SWT yang menganugerahkan rezeki kepada mereka yang dikehendakiNya. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:
“Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah asy-Syura: 19)
Kita perlu sedar juga bahawa cukup atau tidak rezeki yang kita terima itu bukanlah diukur dengan kuantitinya semata-mata, tetapi yang penting ialah keberkatannya. Tanpa keberkatan ini rezeki yang banyak sekalipun manusia tidak akan merasa cukup dan puas.
Dalam Islam terdapat beberapa sebab yang boleh mendatangkan rezeki yang luas jika kita mengamalkannya.
Di antara sebab-sebab itu adalah seperti berikut:-
1) Bertakwa kepada Allah SWT
Bertakwa kepada Allah SWT itu ialah dengan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Orang yang tidak mentaati Allah SWT iaitu mengingkari suruhan dan laranganNya, bererti orang itu tidaklah tergolong daripada orang-orang yang bertakwa.
Bagi orang-orang yang bertakwa ini, Allah SWT menjanjikan kepada mereka limpahan rezeki, malah Allah SWT mengurniakan kepada mereka jalan keluar daripada segala kesusahan. Ini jelas seperti firman Allah SWT yang tafsirnya:
“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan).”
“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah ath-Thalaq: 2-3)
Ayat di atas menerangkan bahawa sesiapa yang bertakwa kepada Allah SWT dengan mengerjakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya, maka Allah jadikan urusannya ada jalan keluar dan rezeki yang tidak terlintas di hatinya.
Dalam ayat yang lain, Allah SWT telah melimpahkan keberkatanNya dari langit dan bumi kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa sepertimana firmanNya yang tafsirnya:
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-A‘raf: 96)
Ayat di atas menerangkan tentang sebuah penduduk negeri yang tidak beriman apabila diutuskan kepada mereka seorang Rasul. Mereka telah dijanjikan oleh Allah SWT keberkatan rezeki kepada mereka dari langit dan bumi dari sumber hujan dan tumbuh-tumbuhan jika mereka beriman dengan kedatangan Rasul itu, mempercayainya, mengikutinya dan bertakwa dengan membuat ketaatan dan meninggalkan perkara yang haram.
Akan tetapi, mereka telah mendustakan Rasul itu, maka Allah SWT menimpakan kepada mereka kebinasaan disebabkan keengganan mereka untuk beriman, bertakwa dan perlakuan dosa serta perkara haram yang mereka telah lakukan.
Maka jelaslah bertakwa kepada Allah SWT adalah di antara penyebab diperluaskan rezeki.
2) Bertaubat dan beristighfar
Bertaubat ialah meninggalkan dosa kerana keburukannya, merasa menyesal setelah melakukannya dan berazam untuk tidak melakukannya.
Jika berhubungkait dengan hak orang lain, maka hendaklah disertai dengan memohon maaf kepada orang itu agar diampunkan daripada dosa yang telah dilakukan terhadapnya dan mengembalikan hak orang yang telah dizaliminya.
Bertaubat dengan segera daripada segala maksiat hukumnya adalah wajib sebagaimana yang disepakati oleh para ulama. Sama ada bertaubat daripada dosa kecil mahupun dosa besar. Ketika bertaubat ini, disunatkan beristighfar kepada Allah SWT daripada setiap dosa yang dilakukan.
Jika dosa itu antara hamba dengan Allah, yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia maka syaratnya ada tiga, jika salah satunya hilang, maka taubatnya tidak sah iaitu:
1)-Hendaknya menjauhi maksiat tersebut.
2)-Menyesali perbuatan (maksiat)nya.
3)-Berusaha untuk tidak mengulanginya lagi.
Jika taubat itu berkaitan dengan manusia maka syaratnya ada empat iaitu ketiga-tiga syarat di atas dan keempat ialah: Hendaknya membebaskan diri dengan memenuhi hak orang tersebut. Jika berbentuk harta benda maka hendaklah dia mengembalikannya.
Jika berupa qisas maka hendaklah dia memberitahu dan memberi kesempatan untuk orang itu membalasnya dan meminta maaf kepadanya. Jika berupa ghibah (mengumpat) maka ia meminta maaf.
Dalam Al-Quran ada disebutkan bahawa bertaubat dan beristighfar adalah di antara sebab diperluaskan rezeki. Firman Allah SWT yang tafsirnya:
“Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepadaNya, supaya Dia menurunkan hujan lebat kepada kamu serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu berpaling daripada seruanku dengan terus-menerus melakukan dosa (yang mendatangkan kebinasan)” (Surah Hud: 52)
Ayat ini menerangkan bahawa Nabi Hud ‘alaihissalam telah memerintahkan kaumnya iaitu kaum ‘Aad untuk beristighfar dan bertaubat supaya dikurniakan hujan yang lebat dan diampunkan dosa yang telah lalu iaitu dosa menyekutukan Allah dan menyembah berhala, kerana sesiapa yang bertaubat dan beristighfar maka akan dimurahkan Allah SWT rezekinya, dan dipermudahkan urusannya dan mendapat perlindungan daripadaNya jua dalam keadaan negeri yang kering kontang kerana ditimpa kemarau, hujan memang menjadi sebesar-besar rahmat.
Begitu juga dengan memohon ampun kepada Allah SWT akan mendapat rezeki sepertimana disebutkan dalam Al-Quran. Firman Allah SWT yang tafsirnya:
“Sehingga aku (Nabi Nuh) berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.”
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;”
“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak–pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh: 10-12)
Tersebut di dalam Tafsir al-Qurthubi satu riwayat bahawa beberapa orang lelaki pernah datang mengadu kepada al-Hasan al-Bashri Rahimahullah, seorang dari kalangan tabi‘in mengenai masalah mereka, ada yang mengadu masalah kemarau, ada yang mengadu tentang kefakiran, ada yang mengadu ingin dikurniakan anak dan ada yang mengadu kebunnya kering.
Hasan menyuruh mereka semua supaya beristighfar kepada Allah. Lalu apabila ditanya kepada beliau kenapa perlu beristighfar? Hasan al-Bashri Rahimahullah pun menjawab: “Sesungguhnya itu adalah firman Allah SWT dalam Surah Nuh.”
Maka jelaslah bahawa firman Allah SWT dalam surah Nuh dan surah Hud adalah sebagai dalil yang nyata bahawa mengamalkan istighfar itu adalah di antara sebab dilimpahkan rezeki seperti hujan.
Tambahan lagi Rasullullah SAW pernah bersabda, bahawa sesiapa yang selalu beristighfar maka dilimpahkan oleh Allah SWT rezeki yang tidak terlintas dihatinya.
Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang selalu mengamalkan istighfar, Allah jadikan baginya bagi setiap kesempitan jalan keluar dan bagi setiap kesusahan itu kelapangan dan memberikannya rezeki yang tidak terlintas di hatinya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Bersambung minggu depan…