Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Carilah rezeki yang halal dan amalan dimurahkan rezeki

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    SIRI 2

    Sebab-sebab dimurahkan rezeki

    DI antara sebab-sebab itu adalah seperti berikut:-

    1) Bertawakal

    Tawakal ialah berserah diri kepada Allah Ta‘ala dan berpegang teguh kepadaNya dalam semua perkara-perkara yang wajib. Perintah bertawakal ada disebutkan dalam Al-Quran sepertimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya, “Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.” (Surah Ali-‘Imran: 122)

    Perkara bertawakal sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran dan hadis Rasullullah SAW adalah di antara sebab diperluaskan rezeki. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya, “Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah ath-Thalaq: 3)

    Dalam hadis disebutkan, Sayyidina Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasullullah SAW bersabda yang maksudnya:

    “Jika sesungguhnya kamu bertawakal kepada Allah Ta‘ala dengan sebenar-benar tawakal, maka akan diberikan rezeki kepada kamu sepertimana rezeki yang diberikan kepada seekor burung yang menjamu makanan di awal pagi ketika sedang lapar dan kembali setelah perut penuh (iaitu sesudah merasa kenyang).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

    Hadis di atas menerangkan bahawa jika seseorang itu benar-benar bertawakal kepada Allah Ta‘ala dengan keyakinan bahawa Allah Ta‘ala yang melakukan semua itu dan tiada yang memberi rezeki melainkan Allah Ta‘ala jua dan tiada yang berkuasa menghalang melainkan Allah Ta‘ala jua di samping berusaha bersungguh-sungguh dengan bertawakal, nescaya akan dilimpahkan rezeki sepertimana rezeki yang dilimpahkan kepada burung.

    2) Menghubungkan silaturrahim

    Menghubungkan silaturrahim juga adalah di antara sebab-sebab dimurahkan rezeki. Dalil mengenai perkara itu banyak disebutkan dalam hadis-hadis Rasullullah SAW, antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahawa sesungguhnya Rasullullah SAW bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan hubungan kekeluargaannya (silaturahimnya).” (Hadis riwayat Muslim)

    Maka hadis di atas menerangkan bahawa menghubungkan silaturrahim itu memberikan impak yang baik seperti diperluaskan rezeki dan dipanjangkan usia.

    ‘Ulama bersepakat mengatakan bahawa mengeratkan silaturrahim sesama saudara hukumnya adalah wajib. Kewajiban mengeratkan silaturahim itu juga disandarkan dengan rasa keimanan kepada Allah Ta‘ala sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasullullah SAW, Baginda bersabda yang maksudnya:

    “Dan siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengeratkan hubungan kekeluargaannya (silaturahimnya).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Sementara hukum memutuskan silaturahim pula adalah haram dan dikira sebagai melakukan maksiat besar dan mendapat laknat daripada Allah SWT, sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:

    “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan, jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat?”

    “(Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad: 22-23)

    Manakala akibat orang yang memutuskan silaturahim pula, tidak akan masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi SAW yang maksudnya:

    “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (Hadis riwayat Muslim)

    Antara cara untuk mengeratkan hubungan silaturrahim ialah dengan memberi harta, memberi bantuan dan pertolongan dalam menyampaikan hajat, menolak kemudaratan, memberi keceriaan muka atau keramahan, mendoakan, memenuhi dengan apa yang termampu daripada perkara kebajikan dan menolak apa yang termampu daripada keburukan.

    Sementara bagi mereka yang jauh bolehlah juga berhubung dan berkirim salam dengan berutus surat, akan tetapi jika mampu adalah lebih utama untuk menziarahi mereka.

    Dalam kitab Bujairimi ‘Ala al-Khathib disebutkan bahawa mengeratkan silaturahim adalah di antara sebab-sebab mendapat rezeki yang berkat dan dipanjangkan umur.

    Sebagai kesimpulan tidak diragukan lagi bahawa apa yang diterangkan dalam Al-Quran dan hadis bahawa bertakwa kepada Allah Ta‘ala, bertawakal, beristighfar dan memohon ampun kepadaNya dan menghubungkan silaturahim adalah di antara penyebab seseorang hamba itu dikurniakan limpahan rezeki dan keberkatannya. Maka sayugialah kita berusaha untuk beriltizam dengan perkara-perkara ini, kerana selain ia penyebab atau faktor yang boleh mempeluaskan rezeki, amalan-amalan itu juga adalah amalan yang dituntut dan disukai Allah Ta‘ala.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda