VALENCIA, 26 DIS – Valencia yang berada di zon penyingkiran telah melantik pengurus West Bromwich Albion, Carlos Corberan, sebagai ketua jurulatih baharu sehingga Jun 2027.
Valencia memecat Ruben Baraja pada Isnin selepas mencatat satu lagi kegagalan dalam La Liga meninggalkan kelab Sepanyol itu terkandas di zon penyingkiran dan mencetuskan bantahan baharu terhadap pemilik dari Singapura, Peter Lim.
“Carlos Corberan telah dilantik sebagai jurulatih Valencia CF, menandatangani kontrak sehingga 2027,” menurut kenyataan di laman web Valencia pada awal Rabu. “Pilihan pelepasan dalam kontraknya dengan West Bromwich Albion telah diluluskan untuk membenarkannya meninggalkan kelab.”
Tiada angka rasmi diumumkan, tetapi pampasan untuk bekas pemain muda Valencia itu dilaporkan sekitar AS$3 juta.
Jurulatih Sepanyol itu, yang juga pernah melatih pasukan Greece, Olympiakos, memimpin West Brom ke kedudukan ketujuh dalam liga Championship, divisyen kedua bola sepak Inggeris.
Dia pernah bekerja di Arab Saudi bersama Al-Ittihad dan Al-Nassr sebelum tampil sebagai pengurus pasukan utama dengan Doxa Katokopias di Cyprus.
West Brom sebelum ini berkata dalam satu kenyataan bahawa Corberan, 41 tahun, ‘akan kembali ke tanah airnya dengan ucapan terima kasih dan doa terbaik daripada kelab selepas tempoh dua tahun di The Hawthorns.’
Chris Brunt, Damia Abella dan Boaz Myhill ‘akan mengendalikan tugasan pasukan utama sehingga notis lanjut.’
Perlawanan La Liga Valencia seterusnya adalah aksi menentang Real Madrid di laman sendiri pada 3 Januari, dalam perlawanan yang ditunda dari Oktober akibat banjir besar yang melanda Valencia.
Valencia kini tanpa kemenangan dalam empat perlawanan terakhir mereka. – AFP