Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Carolina rig teknik mudah menduga dasar

    Oleh Raz AS

    Dalam perjuangan tidak kunjung sudah untuk menangkap ikan yang lebih banyak dan lebih besar, pemancing sentiasa bersedia untuk mencuba pelbagai jenis umpan dan teknik-teknik memancing yang baharu dan lama.

    Oleh yang demikian di sini penulis ingin mengongsikan satu teknik yang popular digunakan dalam kalangan pemancing-pemancing di barat bagi menjerat spesies ikan Bass. Meskipun di negara kita tidak mempunyai spesies tersebut, namun ikut perambahan yang selalu menjadi ungkapan pemancing kitani, “jangan kurang cuba”, kerana siapa tahu ia ampuh digunakan untuk menjerat spesies buruan kegemaran awda.

    Teknik yang ingin diketengahkan oleh penulis di sini dikenali sebagai Carolina rig. Sebenarnya teknik ini banyak dan biasa digunakan oleh orang-orang kita, cuma barangkali disebabkan perbezaan bahasa dan namanya, ia kedengaran asing.

    Teknik ini memerlukan awda memasukkan batu kail sama ada jenis bulat atau bujur pada bahagian tali utama, dan setelah itu dimasukkan manik dan diikatkan kili-kili, yang kemudiannya tali perambut.

    Setelah membaca ciri-cirinya pasti awda sudah mengenalinya kan?. Ya, inilah selalunya cara yang kebanyakan pemancing kita gunakan untuk menjerat buruan menggunakan umpan konvensional sama ada hidup atau mati, atau juga dikenali sebagai teknik perambut batu hidup.

    Teknik Carolina rig memerlukan awda memasukkan batu kail sama ada jenis bulat atau bujur pada bahagian tali utama, dan setelah itu dimasukkan manik dan diikatkan kili-kili, yang kemudiannya tali perambut.

    Walau bagaimanapun, di barat ia tidak terhad kepada penggunaan umpan konvensional sahaja bahkan juga digunakan bersama umpan-umpan tiruan atau lure, yang ternyata tidak kurang hebat berbanding teknik-teknik lain. Jika tidak, tidak mungkin ia menjadi pilihan popular para pemancing di sana.

    Secara amnya teknik ini selalunya digandingkan bersama lure jenis soft plastic, dengan pilihan popular adalah seperti daripada jenis worm, lizard dan crawfish. Akan tetapi ia juga boleh digunakan bersama lure jenis terapung seperti jerkbait dan crankbait untuk memberikan aksi yang tidak terdapat pada umpan softplastic.

    Cara menggunakannya adalah dengan melakukan lontaran dan kemudian ditarik perlahan dengan mengheretnya di bahagian dasar sungai atau tasik. Joran akan dihadapkan tepat ke hadapan selari dengan permukaan air atau tanah, setelah itu menggunakan aksi sweeping motion ke sisi.

    Bayangkan sahaja joran awda umpama jarum jam pada posisi jam 12 dan lakukan sweeping motion ke jam 2. Namun bergantung pada kepanjangan joran yang digunakan, sekirannya awda menggunakan joran panjang 7 kaki pergerakan ke posisi jam 2 sudah memadai, manakala semakin pendek joran semakin lebar pergerakan sweep yang dilakukan, mungkin hingga posisi jam 3 atau 4.

    Lebihan tali kendur atau slacking line digulung kemudian pergerakan diulangi sehinggalah sampai ke kaki awda.

    Dengan menggunakan teknik ini awda boleh merasakan sendiri keadaan permukaan dasar sungai atau tasik tempat awda memancing. Dengan pengalaman yang cukup awda dapat membezakan sama ada permukaan dasar itu lumpur, pasir, berbatu, rumpai dan lain-lain.

    Tetapi sebaiknya elakkan daripada menggunakan teknik ini di tempat-tempat yang mempunyai heavy cover, atau ringkas kata orang kitani, tampat penyangkutan.

    Kemungkinan besar batu kail boleh terselit di antara celahan batu atau reba meskipun awda menggunakan weedless hook.

    Sekiranya awda berjaya memperoleh buruan idaman menggunakan teknik ini, jangan segan-segan untuk mengirimkannya kepada kami untuk disiarkan, selamat mencuba.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...