Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Caroline Wozniacki muncul semula di dunia tenis

    ISTANBUL, 30 JUN – Bekas pemain nombor satu dunia Caroline Wozniacki kelmarin mengesahkan bahawa dia kembali bermain tenis selepas bersara selama tiga tahun.

    “Sejak tiga tahun tidak aktif, saya menebus masa yang hilang bersama keluarga, menjadi ibu dua anak yang cantik dan sangat bersyukur. Namun, saya masih mempunyai matlamat yang mahu dicapai. Mahu menunjukkan kepada anak-anak bahawa awda boleh mengejar impian tanpa mengira umur atau peranan,” lapor agensi Anadolu memetik kenyataan bintang tenis Denmark itu dalam hantarannya di Twitter.

    “Kami (keluarga) memutuskan bahawa sudah tiba masanya saya kembali bermain dan saya tidak sabar! untuk itu,” menurut Wozniacki yang menamatkan kerjayanya selama 15 tahun pada 2020.

    Bercakap dengan majalah Vogue mengenai rancangannya untuk kembali bermain tenis, Wozniacki berkata, dia merancang untuk muncul pada Terbuka Kanada di Montreal pada Ogos dan bermain di Terbuka Amerika Syarikat (AS).

    “Saya akan mula bermain di Montreal untuk muncul semula, diikuti ke New York. Selepas itu, saya mempunyai beberapa bulan untuk persediaan bagi Terbuka Australia, dengan matlamat akhir menyertai Olimpik Paris,” katanya.

    Wozniacki, yang berusia 33 tahun bulan depan, memenangi Terbuka Australia 2018 dan dua kali menjadi naib juara Terbuka AS pada 2014 dan 2018.

    Terbuka AS tahun ini bermula pada 28 Ogos. – Bernama

    Reaksi Caroline Wozniacki dari Denmark tersenyum semasa sidang akhbar di Copenhagen, Denmark, pada 4 April 2022. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda