Tuesday, March 25, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Carrick tegas misi United belum selesai

    LONDON, 25 Jan – Michael Carrick telah berikrar bahawa Manchester United tidak akan berehat daripada kerja keras mereka apabila mereka berkunjung ke Hull City, dilihat mahu menamatkan perlawanan dengan kemenangan dalam aksi separuh akhir kedua Piala Liga.

    United telah menang dengan kelebihan 2-0 dalam perlawanan pertama di Old Trafford hasil jaringan Juan Mata dan Marouane Fellaini, memberikan mereka langkah kanan bagi perlawanan akhir menentang sama ada Liverpool atau Southampton.

    Tetapi Hull telah menunjukkan petanda perkembangan baik sejak dikendalikan pengurus baru, Marco Silva, menunjukkan permainan menarik menentang Chelsea meskipun kalah 2-0 di Stamford Bridge, dan Carrick berkata United tidak akan leka.

    “Ia sememangnya belum berakhir, kami semua tahu mengenainya,” kata pemain tengah berusia 35 tahun itu.

    “Kami semua memberitahu diri sendiri mengenai hal itu. Saya fikir kami akan bermain dengan skuad terkuat dan akan membuat pendekatan dalam perlawanan itu seolah-olah ia masih 0-0 dan bermula dari awal.

    Pemain tengah United, Marouane Fellaini (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan United, dalam separuh akhir pertama Piala Liga antara Manchester United dan Hull City pada 10 Januari di Old Trafford. – AP
    Pemain tengah United, Marouane Fellaini (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan United, dalam separuh akhir pertama Piala Liga antara Manchester United dan Hull City pada 10 Januari di Old Trafford. – AP

    “Ia bahaya jika anda ke sana dengan pemikiran untuk mempertahankan pendahuluan, memberitahu diri sendiri bahawa ia sudah mencukupi.

    “Kami perlu menghadapinya seperti perlawanan lain, kekalkan tumpuan dan tekanan untuk memenangi perlawanan.”

    Selepas sembilan kemenangan berturut-turut dalam semua persaingan, kemaraan United menuju slot Liga Juara-Juara terbantut dalam keputusan seri 1-1 menentang Liverpool dan Stoke City.

    Itu bermakna mereka kekal berada di tangga keenam carta Liga Perdana, empat mata di belakang empat pasukan teratas, tetapi Carrick merasakan penampilan dalam final Wembley akan menunjukkan skuad Mourinho di laluan yang betul.

    “Pergi ke Wembley, memenangi piala, bagaimana anda tidak menyukainya?” kata Carrick, di mana pasukannya mencapai final Piala Liga pada tahun 2010, apabila mereka menewaskan Aston Villa 2-1 bagi menjuarainya buat kali keempat.

    “Terutama sekali apabila kami rasakan sudah dekat untuk mencapainya, tanpa menyesali apa-apa. tu tujuan anda bermain dan apa yang para penyokong mahu lihat. Mereka mahu pergi dan meraikan kemenangan dan memenangi sesuatu, merangkul piala, mempunyai hari yang baik dan menikmatinya.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda