Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Untuk menyokong program vaksinasi COVID-19 negara, Carrier Brunei hari ini menyediakan dua mesin penapis udara Dual-Mode OptiClean dan mesin udara negatif untuk ruang menunggu di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Hadir menerima sumbangan berkenaan ialah Pegawai Kesihatan Kanan, Kementerian Kesihatan, Dayang Lydiana Harliza binti Haji Abdul Kadir.
Unit OptiClean ini akan membantu meningkatkan kualiti udara dalaman (IAQ) dan memastikan lebih daripada 3,000 orang yang menerima vaksin sehari lebih selamat di lokasi berkenaan.
Carrier OptiClean menggunakan penapis HEPA jangka hayat 99.97 peratus yang berkesan untuk membuang zarah sekecil 0.3 mikron, seterusnya mengeluarkan udara bersih kembali ke dalam bilik. Unit ini mudah dibawa masuk ke dalam mana-mana bilik dan dipasang ke soket elektrik standard untuk meningkatkan IAQ dengan cepat.
Pengurus Jualan Carrier Brunei, Rahul Kumar berkata, “Kami menghargai peluang untuk menyokong dan menyumbang kepada inisiatif penting ini dengan menyediakan persekitaran dalaman yang lebih selamat bagi warga Brunei serta memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan selamat.
“Di Carrier, kami melihat masa depan bangunan yang lebih sihat dengan mengembangkan produk yang memberikan impak positif terhadap kesihatan dan produktiviti penghuni semua bangunan,” tambahnya.
