MIAMI, 8 Feb – Pelari pecut, Nesta Carter dari Jamaica dibenarkan untuk bertanding sementara menunggu keputusan rayuannya dikeluarkan kerana ujian positif bagi bahan terlarang, methylexaneamine, akhbar The Gleaner melaporkan semalam.
Kemenangan pingat emas yang melibatkan Usain Bolt dalam 100m, 200m dan 4x100m dalam Sukan tiga kali turut-turut terjejas bulan lalu apabila ujian semula menunjukkan Carter positif, sekali gus menarik semula kemenangan acara 4x100m berganti-ganti Jamaica itu dari pingat emas pada Olimpik Beijing 2008.
Akhbar Jamaica melaporkan bahawa pasukan guaman Carter sedang menyediakan rancangan untuk menghantar rayuan pembatalannya ke Mahkamah Timbang Tara bagi Sukan (CAS).
Tetapi akhbar itu berkata Carter belum digantung dan Persatuan Pentadbiran Atletik Jamaica (JAAA) menerima pengesahan dari badan induk dunia IAAF bahawa dia bebas untuk bertanding.
Selepas hampir 17 bulan sejak perlumbaannya terakhirnya, Carter dijangka akan bersaing pada Sabtu di Milo Western Relays di Montego Bay Sports Complex sebagai ahli pasukan MVP 4x100m berganti-ganti.
“Ia kelihatannya Carter tidak digantung dan layak untuk bertanding dalam pertandingan atletik sementara menunggu prosedur CAS,” ketua eksekutif IAAF, Olivier Gers menulis dalam jawapannya kepada pertanyaan JAAA selepas perundingan bersama Suruhanjaya Perubatan IAAF dan Anti Dadah, lapor Gleaner. – AFP