MADRID, 29 OGOS – Jaringan separuh masa kedua daripada Dani Cavajal memberikan Real Madrid kemenangan berharga 1-0 di Real Betis kelmarin ketika anak buah Carlo Ancelotti melonjakkan kedudukan di puncak liga pada awal musim.
Madrid kini mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan selepas permulaan cemerlang, sementara laporan menyebutkan potensi pembelian Kylian Mbappe mungkin dapat meningkatkan semangat sebelum penghujung jendela perpindahan pada Selasa.
Ancelotti, yang kembali bersama kelab selepas perletakan jawatan Zinedine Zidane, yang menyaksikan beberapa keputusan sukar berjaya membuahkan hasil, dengan Gareth Bale dan Isco kembali menyerlah selepas diberikan peluang untuk beraksi.
Pasukan Los Blancos tidak akan bermain perlawanan di laman sendiri pada musim ini sehingga 11 September disebabkan oleh pengubahsuaian Santiago Bernabeu yang berjalan ketika ini.
Tetapi mereka masih mendahului di La Liga di hadapan Sevilla dan Valencia dengan perbezaan gol.
Betis masih kemarau kemenangan selepas pembukaan musim dengan dua kali seri berikutan pertemuan di Benito Vilamarin yang menyaksikan lima pemain pasukan tuan rumah dan jurulatih veteran, Manuel Pellegrini dilayangkan kad kuning. – AFP
