Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    CAS tolak rayuan Israel sertai Kejohanan Gimnastik Dunia

    LAUSANNE, 15 OKT – Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan Persekutuan Gimnastik Israel untuk dibenarkan mengambil bahagian dalam kejohanan dunia yang akan berlangsung di Indonesia, hujung minggu ini.

    CAS turut menolak permintaan Israel agar memaksa Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) menjamin penyertaan Israel sebagai alternatif bagi membatalkan atau memindahkan kejohanan dunia gimnastik artistik yang dijadual bermula Ahad ini di Jakarta.

    Kerajaan Indonesia minggu lalu mengumumkan, mereka tidak akan memberikan visa kepada gimnas Israel dan CAS yang berpangkalan di Switzerland berkata kelmarin, FIG menyatakan ia tidak mempunyai kawalan terhadap dasar visa Indonesia.

    Sebagai reaksi terhadap tindakan Indonesia itu, FIG tidak mengancam untuk menarik balik penganjuran acara tersebut daripada negara tuan rumah seperti yang diperuntukkan dalam statutnya bagi kes di mana tuan rumah enggan mengeluarkan visa.

    Israel mahu tindakan FIG yang ‘mengambil maklum’ terhadap kenyataan kerajaan Indonesia itu dibatalkan, namun CAS turut menolak permintaan tersebut kelmarin.

    Keputusan Indonesia menolak permohonan visa dibuat selepas rancangan penyertaan Israel mencetuskan tentangan hebat di negara majoriti Muslim terbesar dunia itu, yang sekian lama menjadi penyokong kuat rakyat Palestin.

    Israel merupakan antara 86 negara yang berdaftar untuk menyertai kejohanan tersebut, dengan pasukan yang menampilkan pemenang pingat emas Olimpik 2021 dan juara dunia bertahan, Artem Dolgopyat, dalam acara lantai lelaki.

    Kini penyertaan Israel menjadi tanda tanya, walaupun persekutuan gimnastik negara itu berkata pada Julai lalu bahawa pegawai Indonesia telah memberi jaminan mereka akan dialu-alukan di kejohanan dunia iaitu sesuatu yang bercanggah dengan dasar lama Indonesia yang menolak kehadiran delegasi sukan Israel bagi acara utama.

    Pertikaian gimnastik ini menjadi contoh terbaharu bagaimana reaksi global terhadap Israel berikutan kesan kemanusiaan perang di Gaza turut merebak ke arena sukan dan budaya. – AP

    Salah sebuah lokasi yang disediakan untuk Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik di Arena Indonesia, Jakarta. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda