Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Casting atau jigging, mana satu pilihan pemancing?

    Oleh Raz AS –

    Memancing merupakan satu aktiviti yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat tidak kira usia atau latar belakang. Ia bukan sekadar hobi santai, tetapi juga merupakan satu bentuk seni yang menuntut pemahaman, kemahiran dan kesabaran.

    Bagi pemancing yang sudah melangkah ke tahap lebih serius, dua teknik moden yang sering menjadi pilihan utama ialah teknik casting dan teknik jigging.

    Meskipun kedua-duanya bertujuan untuk menangkap ikan dengan menggunakan umpan tiruan namun pendekatan, gaya, keperluan peralatan serta keberkesanannya berbeza mengikut situasi, lokasi dan spesies sasaran.

    Casting adalah teknik di mana pemancing melontar umpan tiruan, ke arah sasaran tertentu dan kemudian menariknya kembali ke arah pemancing dalam gerakan tertentu untuk menarik perhatian ikan.

    Teknik ini memerlukan ketepatan, kemahiran melontar serta pemahaman tentang corak pergerakan umpan tiruan agar ia kelihatan seperti mangsa sebenar yang sedang berenang atau melarikan diri. Casting sesuai untuk memancing di kawasan berstruktur seperti tebing sungai, muara, kawasan berbatu dan sekitar struktur buatan seperti jambatan atau pokok tumbang.

    Bagi pemancing yang sudah melangkah ke tahap lebih serius, dua teknik moden yang sering menjadi pilihan utama ialah teknik casting dan teknik jigging. – GAMBAR OLEH BLACK MAGIC TACKLE

    Salah satu kelebihan casting ialah keupayaan untuk menyasarkan kawasan tertentu secara tepat dan berkali-kali dalam masa yang singkat. Ini memberi peluang tinggi untuk mendapatkan sambaran terutama jika awda tahu di mana ikan sedang berkumpul.

    Tambahan pula, teknik ini sangat interaktif dan memerlukan pergerakan berterusan, menjadikan ia lebih menyeronokkan dan tidak membosankan.

    Sebaliknya, jigging adalah teknik yang melibatkan pergerakan menaik dan menurun umpan tiruan besi (metal jig) secara menegak di dalam air, biasanya dari perahu atau bot. Ia dilakukan dengan cara membiarkan jig tenggelam ke dasar atau ke lapisan kedalaman tertentu, kemudian menggoyangkan joran sambil gulungan dibuat untuk menggerakkan jig dalam corak menaik dan jatuh, bagi mensimulasikan ikan yang sedang cedera atau terkejut.

    Teknik jigging sangat efektif untuk menangkap ikan dasar dan pelagik seperti kerapu, tenggiri dan GT (giant trevally), terutama di laut dalam atau kawasan berstruktur seperti karang dan bangkai kapal.

    Jigging boleh dilakukan dengan pelbagai gaya seperti slow pitch jigging, high speed jigging atau super light jigging, bergantung kepada saiz jig dan jenis ikan yang disasarkan.

    Keberkesanan teknik ini bergantung kepada keupayaan membaca sonar, memahami topografi dasar laut serta kestabilan bot ketika jig dilepaskan.

    Dari segi peralatan, kedua-dua teknik ini memerlukan setup yang berbeza. Untuk casting, pemancing biasanya menggunakan joran ringan hingga sederhana yang panjangnya antara 6 hingga 7 kaki, digabungkan dengan reel jenis spinning atau baitcaster.

    Tali pancing biasanya lebih halus jika sasaran utama adalah spesies pemangsa permukaan atau pertengahan air seperti selongsong, toman, barap dan barracuda atau lebih tebal jika sasaran adalah spesies penghuni struktur seperti kerapu, ungah dan sebagainya. Umpan tiruannya pula boleh berupa minnow, popper, pensil atau soft bait bergantung kepada keadaan dan spesis sasaran.

    Jigging pula memerlukan joran khusus, tetapi lebih teguh dan sensitif, biasanya panjang antara 5 hingga 6 kaki sahaja. Reel yang digunakan juga lebih berkuasa dengan nisbah gear tertentu untuk membantu menarik ikan besar dari kedalaman. Tali utama biasanya menggunakan braided line yang kuat dan sensitif, dengan leader fluorocarbon atau monofilamen bagi menyerap sentapan dan mengurangkan risiko putus.

    Dari aspek fizikal dan keletihan, casting cenderung lebih ringan dan fleksibel kerana pemancing boleh bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, atau mengubah arah lontaran mengikut strategi. Walaupun memerlukan pergerakan tangan yang berulang, ia tidak begitu membebankan berbanding jigging, yang sering memerlukan kekuatan dan ketahanan fizikal tinggi, terutama apabila menggunakan jig berat untuk menembusi arus laut yang kuat dan tahap kedalaman yang jauh lebih dalam.

    Jigging dalam jangka masa panjang boleh menjadi sangat memenatkan dan tidak semua pemancing mampu melakukannya dalam tempoh lama, terutama jika berada di laut terbuka yang bergelora.

    Dari sudut hasil tangkapan pula, kedua-dua teknik ini berpotensi memberi hasil yang sangat memberangsangkan jika diaplikasikan dengan betul. Casting lebih sesuai untuk lokasi cetek atau separa dalam dan untuk spesies yang aktif memburu di permukaan atau di kawasan struktur.

    Jigging pula lebih efektif di laut dalam, terutamanya untuk menangkap ikan dasar atau spesies palegik bersaiz besar.

    Teknik jigging juga cenderung memberi kejutan kerana sambaran berlaku secara agresif dan kadang-kadang tanpa amaran, menjadikan pengalaman memancing lebih mendebarkan.

    Namun begitu, pemilihan antara casting dan jigging tidak semestinya bersifat mutlak. Ramai pemancing berpengalaman akan mempelajari dan mempraktikkan kedua-dua teknik bergantung kepada lokasi dan keadaan semasa.

    Satu lagi faktor yang perlu dipertimbangkan ialah bajet dan kos. Peralatan jigging biasanya lebih mahal berbanding casting kerana memerlukan joran dan reel khusus yang tahan lasak serta akses kepada bot atau perkhidmatan memancing laut dalam.

    Casting pula boleh dilakukan dari darat seperti tebing sungai, pantai atau jeti tanpa kos tambahan yang besar, menjadikannya lebih mesra bajet dan sesuai untuk pemancing yang baru ingin mencuba teknik moden. Namun begitu, pelaburan dalam peralatan jigging boleh mendatangkan kepuasan tersendiri apabila hasil tangkapan besar dan berharga berjaya dinaikkan.

    Sama ada awda memilih untuk menceburkan diri dalam arena casting atau jigging, kedua-dua teknik ini mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing dan yang paling penting adalah memahami keperluan diri, jenis ikan yang ingin diburu serta lokasi yang dituju agar setiap trip memancing bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga produktif. Untuk pengalaman tambahan, tidak salah untuk menguasai kedua-dua teknik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda