Isu tawaran bayaran persembahan terlalu rendah, penyanyi Cat Farish terpanggil berkongsi situasi hampir serupa ketika awal pembabitan kariernya.
Pemilik nama sebenar Farish Ramli, 51, berkata walaupun menerima bayaran kecil pada peringkat awal, dia tetap fokus terhadap nyanyian sehingga kini mampu meraih pendapatan sehingga mencecah lima angka.
“Kita nak jadi penyanyi akan ada benda macam ini, RM500 pun ada. Ini bukan fasal duit tapi berkaitan cari makan.
“Dunia artis kalau baharu, memang dulu kita dibayar RM20 seorang, paling murah RM20 kongsi lima orang masa zaman gig.
“Ketika itu fokusnya menyanyi tetapi bila dah naik atas mulalah harga RM5,000, RM10,000, RM20,000 sampai sekarang RM50,000 untuk persembahan.

“Tetapi kalau budak universiti panggil untuk menyanyi bajet ada RM500 hiburkan 1,000 pelajar. Saya akan fikir mereka akan dengar balik lagu saya, itu cara berfikir sebagai orang lama,” katanya kepada Kosmo pada majlis pembukaan rasmi butik JeMels Atelier di IOI City Mall, baru-baru ini.
Bagaimanapun, ahli kumpulan Ruffedge itu tidak menafikan ada sesetengah pihak yang ambil kesempatan dengan menawarkan bayaran rendah, namun menegaskan pentingnya artis mengurus situasi tersebut dengan bijak.
Pada masa sama, dia juga menambah bahawa penyanyi perlu membina kelas dan standard tersendiri supaya tidak mudah diberikan bayaran rendah.
“Ada juga penyanyi yang bina kelas tersendiri. Ada tak orang berani tanya Ella atau Datuk M. Nasir untuk bayar RM1,500? Tak logik sebab mereka dah ada standard diri.
“Ruffedge pun orang tak pernah tanya bayaran RM1,500. Kita kena bijak berfikir dan counter balik,” tuturnya. – Agensi
